Oleh Nazrul Aziz
4 Disember 2024, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keberanian dan semangat seorang anggota tentera untuk menyelamatkan nyawa insan lain telah mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Staf Sarjan Mohd. Nor Khalid, seorang anggota tentera yang berkhidmat di Sel Semboyan Pasukan 41 Bateri Rejimen Artilari Diraja (Istiadat) Kem Sungai Buloh telah menyelamatkan nyawa empat orang pelajar dalam satu kejadian di sebuah tasik di Puncak Alam, Selangor.

Kejadian yang berlaku pada 24 November lalu menyaksikan tindakan pantas Staf Sarjan Mohd. Nor telah menyelamatkan keempat-empat pelajar daripada lemas apabila sampan yang dinaiki oleh mereka terbalik ketika memancing di tasik tersebut.

Atas semangat keberanian yang telah ditunjukkan ini, pihak JBPM telah berbesar hati untuk menganugerahkan beliau Sijil Penghargaan Wira Penyelamat.

Sijil Penghargaan Wira Penyelamat telah disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad, sewaktu Perhimpunan Bulanan JBPM lalu.

Majlis tersebut diadakan di Dewan Sutera, Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya dan dihadiri oleh pengurusan tertinggi JBPM serta kakitangan JBPM.

Sebelum itu, anggota tentera tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau telah dinaikkan pangkat daripada sarjan kepada staf sarjan dan Majlis Pemakaian Pangkat secara rasmi telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat di Wisma Pertahanan.

Kredit Foto: Media JBPM
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.