Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap sedia dengan amaran Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan dengan hujan berterusan yang dijangka berlaku hingga 11 Disember 2024, yang mengakibatkan berlakunya gelombang kedua banjir.
Hujan dijangka berlaku di tujuh buah negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor.
Sehubungan dengan itu, KPM mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.
KPM juga menggesa semua jawatankuasa untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa.
“Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir,” kata KPM dalam kenyataannya.
KPM telah mengaktifkan prosedur operasi standard yang dikenali sebagai “Ops Payung” bagi menghadapi Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember 2024.
Jelas KPM, hal ini penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon yang terjejas.
“KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir,” ujarnya.