Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi — Menyedari keperluan untuk menambah kemahiran dan pengetahuan ketika berlakunya sesuatu bencana alam, Majlis Belia Orang Kelainan Upaya (OKU) Malaysia (MBOKU) telah melaksanakan bengkel Sekolah Sukarelawan Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MYVOC) selama tiga hari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bengkel tersebut disertai oleh 20 orang ahli pertubuhan MBOKU berusia antara 16 tahun hingga 40 tahun yang menetap di sekitar Lembah Klang.
Bengkel sekolah sukarelawan MYVOC yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Self-care and Social Support Platform (SAPOT) ini diadakan bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Bencana 2024 khusus untuk sukarelawan OKU di seluruh negara.
Bengkel ini juga merupakan satu daripada langkah persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut yang menyebabkan banjir di beberapa buah negeri di Malaysia pada bulan ini dan dijangka berterusan hingga Mac tahun hadapan.
Exco MBM, Nur Fatiha Shuib berkata, MBOKU pertama kali menganjurkan bengkel Sekolah Sukarelawan MYVOC dengan matlamat mengukuhkan pengetahuan dan jaringan peserta OKU bagi menghadapi bencana serta membantu masyarakat yang terjejas.
“Walaupun peserta yang terlibat antaranya termasuklah OKU fizikal dan OKU pendengaran dan keupayaan, namun, pendedahan yang diberi melalui bengkel sukarelawan itu dapat membantu peserta jika berhadapan dengan sesuatu masalah,” ujarnya.
Nur Fatiha, yang juga pengasas bersama SAPOT Tech PLT, berhasrat untuk meluaskan bengkel sukarelawan tersebut dengan melibatkan lebih banyak golongan OKU dengan bekerjasama bersama-sama pertubuhan yang lain.
Sementara itu, seorang peserta OKU, Siti Nurr Risa Mohd Nasir berkata, walaupun baru sahaja menyertai bengkel sukarelawan seumpama ini, beliau berasa gembira kerana dapat menambah pengetahuan dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan jika berlaku bencana alam.
Siti Nurr Risa yang telah 10 tahun bekerja di pusat panggilan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi menambah, “Bengkel pada hari ini juga dapat menambah kemahiran komunikasi dirinya serta berpeluang mendapat rakan-rakan baharu berbanding dengan jika hanya berada di rumah sepanjang masa.”
Kesemua peserta bengkel ini didedahkan dengan tujuh modul pengurusan bencana daripada fasilitator jemputan.
Selain itu, peserta akan menjalani latihan dalam kumpulan, simulasi sebelum dan selepas bencana serta langkah-langkah menguruskan bencana semasa, di samping lima modul lain yang berkaitan.
Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, para peserta menjalani latihan teori dan amali berkaitan dengan tatacara pengurusan bencana yang disampaikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA); asas pertolongan cemas oleh Pusat Fisioterapi BeVital dan asas komunikasi bencana dikendalikan oleh Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS).
Selain itu, mereka juga didedahkan dengan teori asas sokongan golongan OKU oleh MBOKU, bantuan psikologi kepada mangsa bencana oleh SAPOT Tech PLT; pengurusan air, sanitasi dan kebersihan serta pelan tindakan bencana menerusi NADMA.
Sebagai rekod, program Sekolah Sukarelawan MYVOC ialah program MBM untuk sukarelawan menerusi peruntukan Kementerian Kebudayaan Belia Sukan.
Penganjurannya sejak tahun 2023 dilakukan oleh pelbagai pertubuhan belia yang bernaung di bawah MBM.
MBOKU pula telah ditubuhkan sejak tahun 2021 untuk memperkasakan golongan OKU dalam pelbagai bidang kehidupan.