Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan bahawa Melaka bersedia menganjurkan perhimpunan RXZ dengan skala yang lebih besar dan meriah pada tahun hadapan dan tahun 2026.
Menurut Ketua Menteri, sambutan yang cukup hebat daripada peminat motosikal legenda itu di bumi Hang Tuah dengan dianggarkan lebih daripada 50,000 peminat permotoran tempatan hadir sempena RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Ujar beliau,
Perhimpunan RXZ ini akan diteruskan bukan sahaja pada tahun hadapan kerana Melaka bakal menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD 2025).
“Kita juga bersetuju agar pada tahun 2026, peminat RXZ akan sekali lagi berkumpul di Melaka memandangkan kita bakal menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Melaka akan menjadi sebahagian daripada sambutan itu.
Demikianlah kata beliau dalam majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran MITC.
Turut hadir bersama-sama menyokong program tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri.
YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf mengatakan bahawa kehadiran penunggang motosikal legenda dari Perlis hinggalah di selatan Johor selama dua hari ke Melaka memberikan impak positif terhadap ekonomi penduduk tempatan.
Kata beliau,
Impak cukup hebat dengan kehadiran kumpulan RXZ, selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat, yakni kebanyakan hotel, rumah inap telah pun penuh menerima tempahan.
Tambah beliau,
Tahniah kepada Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka dan Persatuan Sukan Bermotor Daerah Kuala Nerus atas kesungguhan merealisasikan penganjuran program ini dan saya berharap penganjur himpunan ini dapat merangka acara yang lebih hebat, sekali gus menjadikan Melaka sebagai sasaran utama kumpulan RXZ selepas ini.
Mengulas lanjut, perhimpunan RXZ selama dua hari itu turut menyaksikan beberapa program seperti program kemasyarakatan dan keagamaan yang memberikan sumbangan kepada Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dan sembang santai kumpulan RXZ bersama-sama ustaz jemputan.
Dalam majlis penutupan perhimpunan itu, Muhammad Aiman Hakimi, dari Rawang Selangor diumumkan sebagai pemenang bertuah bagi hadiah utama dengan memperoleh sebuah kereta Proton X50, manakala Nazmi Razin Aziz dari Melaka menerima hadiah sebuah motosikal Yamaha RXZ klasik.