11 Disember 2024, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Usaha membanteras gejala rasuah memerlukan mekanisme penyiasatan yang moden bagi mengesan kelicikan pelaku rasuah yang semakin bijak menyembunyikan perbuatan mereka.

Menyedari akan hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa berusaha untuk memastikan kecekapan dan profesionalisme kakitangan dan para pegawainya berada pada tahap yang maksimum.

Langkah SPRM menubuhkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) pada tahun 2006 hingga kini telah membuahkan hasil. MACA yang diberi tanggungjawab  mengendalikan program latihan bagi meningkatkan kecekapan dan profesionalisme kakitangan dan pegawai SPRM telah berjaya melahirkan 1700 orang Pegawai Penyiasat Gred P29 dan P41.

MACA menyediakan program latihan dalam pelbagai bidang seperti penyiasatan, pendakwaan, perisikan, pencegahan, perundingan dan pengurusan. Program latihan ini dilaksanakan oleh pusat dan sekolah yang bertanggungjawab terhadap bidang masing-masing iaitu:

  • Pusat Pengajian Antarabangsa
  • Pusat Latihan Asas
  • Pusat Pematuhan Pencegahan Rasuah Korporat
  • Pusat Pembangunan Integriti Korporat
  • Pusat Perancangan, Penyelidikan dan Korporat
  • Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan SPRM
  • Sekolah Penyiasatan dan Forensik
  • Sekolah Perisikan dan Pengesanan
  • Sekolah Perundangan dan Pendakwaan
  • Sekolah Pencegahan Rasuah dan Pengurusan
  • Bahagian Pengurusan
  • Pusat Bahasa MACA
  • Pusat Sekretariat Akreditasi

Latihan MACA Tingkatkan Ketahanan Pegawai

Siri terbaharu latihan pegawai kadet SPRM yang bermula pada November 2023 hingga 24 Oktober 2024 berjaya melahirkan 111 orang pegawai penyiasat baharu berpangkat Penolong Penguasa Gred P29.

Menurut Pengarah MACA, YBhg. Datuk Saiful Ezral Arifin, peserta kursus Siri 28 itu merupakan kelompok terkini kadet yang menjalani ujian poligraf dan program latihan luar jati diri berdensiti tinggi apabila MACA berkolaborasi dengan pegawai latihan Angkatan Tentera Malaysia dalam meningkatkan aspek ketahanan mental, fizikal dan semangat berpasukan serta integriti pegawai.

Latihan intensif perbarisan dan kawad akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Latihan Asas di MACA Nilai, yang kini dalam peringkat penyelenggaraan. Apabila siap sepenuhnya, pusat itu akan menjadi pusat latihan asas bagi kadet SPRM pada masa akan datang.

Sepanjang latihan itu, pihak MACA bekerjasama dengan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) untuk mendapatkan kemudahan tempat penginapan serta auditorium pada fasa akhir latihan mulai 16 Oktober hingga 23 Oktober bagi memudahkan koordinasi terpusat kepada semua jabatan yang terlibat dengan majlis perbarisan tamat latihan.

Kursus MACA Tingkatkan Ilmu dan kemahiran Pegawai

Kursus Asas Pegawai SPRM dibahagikan kepada dua kategori, iaitu:

Yang pertama: Modul latihan asas merangkumi latihan kawad, kecergasan, seni mempertahankan diri, menembak, pengukuhan pasukan (team building), tauhidik dan lain-lain.

Yang kedua:  Modul akademik yang mewajibkan kadet mengikuti pengajian berakreditasi yang telah disahkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT), iaitu modul penyiasatan, perisikan, perundangan, kepimpinan dan amalan profesional.

Pelaksanaan modul latihan asas seperti latihan luar jati diri, kawad intensif dan seni mempertahankan diri, merupakan kolaborasi MACA bersama-sama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kerjasama ini telah berjaya mencapai matlamat untuk memupuk kesepaduan latihan dengan institusi yang melatih pegawai penguatkuasaan di negara ini.

Selain itu, modul akademik yang merangkumi pembelajaran dan penilaian untuk modul penyiasatan, perisikan dan perundangan serta kepimpinan yang telah mendapat kelulusan pada peringkat jemaah menteri juga telah berjaya melengkapkan diri anggota kadet dengan ilmu dan kemahiran penyiasatan yang terkini.

Kejayaan 111 orang pegawai kadet Penolong Penguasa Gred P29 memperoleh Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Tahap 5) telah meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa usaha SPRM dan MACA melahirkan pegawai penyiasat profesional bagi membanteras gejala rasuah bukanlah satu impian kosong semata-mata.

Kolaborasi MACA dan IPT Membuka Peluang Pelajaran

Usaha SPRM bukan setakat melatih anggota kadet pemegang diploma dan ijazah sarjana muda di pusat dan sekolah kendalian MACA, sahaja, namun dari segi peningkatan kerjaya, MACA telah menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara bagi pemindahan kredit untuk para pegawainya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Setelah berjaya melaksanakan inisiatif ini dengan Nottingham Trent University, United Kingdom melalui kolaborasi universitikerajaanindustri, MACA kini menjalin kerjasama dengan ELMU yang berpusat di Bandar Enstek, Nilai.

Penghantaran kohort pertama melibatkan sebanyak 21 orang pegawai bagi mengikuti pengajian daripada peringkat ijazah sarjana muda hingga ijazah sarjana di ELMU pada 6 Oktober 2024 bakal melahirkan pegawai penyiasat SPRM yang dilatih sepenuhnya dalam negara.

Kolaborasi SPRM–MACA–ELMU Lahir Pegawai Berwibawa

ELMU sebagai universiti pertama di Malaysia dan di seluruh rantau Asia yang menyediakan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, sudah pasti dapat menyediakan modul akademik dan pembelajaran berdasarkan pengalaman tempatan.

ELMU yang menerima lesen beroperasi sebagai universiti penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Februari tahun ini merupakan platform terbaik kepada para pegawai SPRM yang ingin meneruskan pelajaran dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

YBhg. Datuk Saiful Ezral selaku Pengarah MACA menyatakan keyakinannya tentang kolaborasi SPRMMACAELMU akan dapat membentuk kumpulan penyiasat dan pegawai antirasuah yang profesional dan berwibawa merentas spektrum penguatkuasaan undang-undang, kepimpinan dan pengurusan.

Keputusan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan SPRM seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024 juga membuktikan bahawa usaha membanteras rasuah turut menjadi keutamaan negara.

Naib Canselor ELMU, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed ketika mengulas tentang pertambahan peruntukan tersebut berkata, pada masa ini, cabaran yang dihadapi oleh badan penguatkuasaan, terutamanya SPRM amat tinggi dengan jenayah rasuah yang canggih, oleh itu, mereka memerlukan sumber kewangan yang banyak  untuk menanganinya. Mungkin sebahagian daripada pertambahan dana itu boleh diperuntukkan bagi meningkatkan lagi program pembinaan infrastruktur dan kurikulum kursus di MACA.

(Mohamad Letfee Ahmad ialah Pakar Runding, Komunikasi Pemasaran, ELMU)

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.