Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKehidupan berkeluarga merupakan satu daripada fasa kehidupan yang kebiasanya akan dilalui oleh setiap individu. Fasa tersebut juga akan ditempuh untuk pasangan yang baru bergelar ibu bapa untuk belajar untuk mendidik dan menjaga zuriat kelahiran mereka. Namun begitu, masyarakat perlu tahu bahawa tidak semua pasangan ini dikurniakan zuriat dengan pantas selepas perkahwinan. Hal ini merupakan realiti kehidupan selepas perkahwinan yang perlu dilalui oleh sesetengah pasangan.
Selari dengan kewujudan isu keluarga tanpa anak atau childfree dalam kalangan masyarakat pada masa ini, sesetengah pasangan yang masih belum dikurniakan zuriat dikatakan memilih jalan ini. Istilah atau konsep keluarga tanpa anak ini datang daripada gaya hidup sesetengah pasangan yang memilih untuk berkahwin, tetapi tidak ingin mempunyai zuriat sendiri. Pasangan yang berpegang kuat pada konsep ini mempercayai bahawa pilihan mereka untuk gaya hidup sebegini dapat memudahkan kehidupan seharian dan meringankan beban mereka.
Merujuk pada artikel yang bertajuk “Trend Childfree: Impak terhadap Keselamatan Negara” yang diterbitkan melalui laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara Malaysia menyatakan bahawa trend ini mampu mengakibatkan ketidakseimbangan demografi masyarakat. Penulis bersetuju dengan keseluruhan idea yang ditonjolkan dalam artikel tersebut. Pada pendapat penulis, terdapat kesan yang jelas dengan wujudnya gaya hidup “keluarga tanpa anak” ini. Kesan yang paling jelas ialah kemungkinan berlakunya penurunan dari segi kadar kelahiran di Malaysia. Jika pasangan yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan memilih untuk tidak mempunyai zuriat, maka kadar kelahiran di Malaysia akan terjejas dan perkara ini akan menyebabkan pengurangan kadar dalam populasi generasi akan datang.
Dengan kadar kelahiran yang menurun, aspek ekonomi dan tenaga kerja di Malaysia juga akan terjejas. Sebagai contoh, tenaga kerja untuk membangunkan dan memajukan negara dalam pelbagai bidang akan berkurangan, sekali gus menyebabkan kemajuan negara dalam pelbagai bidang juga akan terhalang. Pada masa yang sama, lambakan tenaga kerja asing akan meningkat disebabkan syarikat di negara ini memerlukan pekerja secara berterusan. Penurunan kadar kelahiran akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam kehidupan masyarakat kerana kurangnya generasi baharu yang akan lahir. Lebih-lebih lagi, sumbangan generasi muda dalam pelbagai bidang di Malaysia juga akan terjejas dan kemajuan yang didambakan oelh rakyat tidak mungkin tidak berlaku.
Dalam memperlihatkan kesan gaya hidup ini kepada masyarakat, faktor yang menyebabkan sesetengah pasangan memilih gaya hidup ini juga perlu dilihat daripada segenap sudut. Antara faktor yang menyebabkan gaya hidup ini cuba diamalkan adalah disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin tinggi. Pada era globalisasi ini, kos sara hidup untuk mana-mana individu amat tinggi. Kos sara hidup ini merangkumi perkara seperti bayaran atau sewa tempat tinggal, kenderaan serta harga barang basah dan kering yang sentiasa tidak terkawal. Jika kos kehidupan untuk individu sukar untuk ditampung, bagaimanakah pula dengan generasi sekarang ingin menampung kehidupan berkeluarga?
Meneliti keadaan tersebut, Tekanan yang diberikan kepada pasangan muda untuk mempunyai zuriat sendiri tidak selari dengan kos hidup yang terlalu tinggi. Pasangan yang baru berkahwin kebiasaannya masih belajar cara ingin memulakan dan membina kehidupan berkeluarga. Sesetengah mereka sedar tentang tanggungjawab yang bakal digalas jika mempunyai zuriat sendiri, namun dengan keadaan zaman kini yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan atau mempunyai pendapat bulanan yang terlalu rendah, kita bersimpati dengan keadaan yang dihadapi oleh ibu bapa muda ini. Setiap pihak yang ingin menghalang penerusan budaya keluarga tanpa anak ini perlu mengambil kira isu kos sara hidup yang terlalu tinggi dan tidak terkawal kerana penyelesaian masalah bukan sahaja bermula dari pelaku, malah turut melibatan faktor-faktor yang mendorong pelaku untuk melakukannya juga perlu dikaji dengan mendalam.
Faktor seterusnya yang menyebabkan keadaan ini berlaku ialah keinginan pasangan muda itu sendiri yang belum bersedia untuk membina keluarga. Dasawarsa ini, perkahwinan dalam usia muda telah diterapkan semula dalam masyarakat. Perkahwinan dalam usia yang sesuai atau muda tidak dihalang kecuali jika perkahwinan tersebut tidak melibatkan individu bawah umur. Akan tetapi, dalam isu ini, walau apa-apa pun peringkat umur pasangan tersebut, jika mereka tidak bersedia untuk membina dan menjaga keluarga sendiri, hal tersebut juga akan menyumbang kepada berlakunya persetujuan dengan gaya hidup keluarga tanpa anak ini.
Setiap pasangan yang sedang menjalani proses ke arah perkahwinan, perlu mengingatkan diri mereka dan menerapkan dalam fikiran bahawa perkahwinan tidka sekadar sebuah perkara yang menyeronokkan. Perkahwinan merupakan sebuah tanggungjawab besar yang perlu digalas. Zuriat yang dilahirkan perlu dididik, dijaga dan diberikan kasih sayang yang secukupnya agar mereka membesar menjadi individu yang berkualiti dan boleh menyumbang kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Persediaan daripada diri pasangan itu sendiri adalah perlu agar mereka boleh membina keluarga dengan baik.
Mengulas tentang pasangan yang tidak dikurniakan zuriat yang cepat selepas berkahwin disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan seperti masalah kesihatan, masyarakat tidak boleh menuding jari dengan sewenang-wenangnya dengan mengatakan mereka memilih untuk mengamalkan gaya hidup keluarga tanpa anak ini. Hal ini demikian kerana, pasangan terbabit sebenarnya ingin mempunyai zuriat, tetapi dihalang oleh masalah kesihatan yang dialami. Masyarakat sepatutnya menyokong dan memberikan nasihat yang boleh membantu pasangan seperti ini dan bukannya dengan menyalahkan mereka. Peringatan ini perlu dipasakkan dalam fikiran masyarakat agar tidak memberi tekanan yang tidak perlu kepada pasangan muda ini. Dalam hal ini, kata-kata perangsang yang baik dan nasihat yang lebih membantu adalah lebih digalakkan.
Kita tidak dapat menyangkal bahawa gaya hidup keluarga tanpa anak ini sememangnya membimbangkan. Namun begitu, daripada memilih untuk menuding jari dan menyalahkan pihak yang terlibat, lebih baik kita memilih untuk melihat dari sudut pandang pasangan muda ini sendiri. Tanggungjawab besar yang perlu digalas dalam sesebuah perkahwinan bukanlah perkara yang mudah. Sesetengah gaya hidup yang dipilih oleh pasangan ini sememangnya tidak berlandaskan agama dan norma masyarakat, tetapi tidakkah masyarakat sedar bahawa perkara seperti ini berlaku disebabkan oleh faktor-faktor sekeliling yang juga berpunca daripada kos hidup dan pendapat individu sendiri? Kebanyakan individu lebih memilih untuk menuding jari daripada membantu dan menyelesaikan masalah yang timbul kerana mengkritik tanpa memberikan penyelesaian tuntas adalah lebih mudah.
Dalam hal ini juga, pasangan muda perlu bijak dalam merancang perbelanjaan dan cara hidup mereka selepas perkahwinan. Dalam usaha menggalas tanggungjawab berkeluarga, pasangan ini tidak boleh mengambil ringan dengan perkara yang bakal dihadapi. Zuriat yang lahir perlu dijaga dan dididik dengan baik agar mereka membesar menjadi individu yang berkualiti. Tiada gunanya jika mengejar untuk melahirkan zuriat yang banyak, tetapi tidak mendidik dan menjaga mereka dengan didikan yang selayaknya. Jika perkara sebegini berlaku, ketahuilah bahawa kegagalan tersebut terletak pada ibu bapa itu sendiri.
Penyelesaian kepada isu ini terletak pada setiap pihak yang bertanggungjawab. Oleh itu, berhentilah daripada menuding jari dan menyalahkan, tetapi sekurang-kurangnya cubalah untuk membantu dan mencari punca sebenar yang membawa kepada permasalahan ini. Kepada pasangan yang memilih gaya hidup ini, pilihan yang anda lakukan datang bersama kesan yang perlu ditanggung kelak, maka lakukanlah keputusan dengan sudut akal yang paling dewasa dan lakukan juga keputusan yang tidak akan mendatangkan mudarat pada keluarga dan masyarakat.
Daripada faktor-faktor yang disebut di atas, isu keluarga tanpa anak ini berpunca daripada faktor-faktor yang berlaku dalam persekitaran kehidupan kita. Semestinya pasangan yang memilih gaya hidup ini perlu bertanggungjawab atas keputusan yang dipilih, namun kita juga boleh meneliti dengan sedalam-dalamnya gaya hidup ini dengan melihat faktor-faktor yang telah dinyatakan.