Diterbitkan pada 3 Januari 2025, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Inisiatif Baucar Buku MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei 2024 telah berjaya mencapai sasaran penebusan sebanyak 100 peratus.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa inisiatif tersebut telah memberikan manfaat kepada lebih 3.5 juta orang pelajar pada setiap peringkat di bawah KPM.

Secara keseluruhannya, sebanyak RM286 juta telah digunakan oleh pelajar untuk menebus lebih 7.8 juta nashkah bahan bacaan menerusi Inisiatif Baucar Buku MADANI.

KPM juga beriltizam untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan pelajar bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan menjadi aset masa hadapan bagi pembangunan Malaysia MADANI.

Tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku bagi murid atau pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM adalah dari 31 Mei 2024 hingga 31 Disember 2024.

KPM telah memberikan baucar buku bernilai RM50 untuk murid tahun empat hingga tahun enam dan RM100 untuk pelajar sekolah menengah.

Pada 30 Mei 2024, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM50 untuk murid tahun empat hingga tahun enam, manakala RM100 untuk pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan lain di bawah KPM, iaitu kolej tingkatan enam, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Penebusan baucar buku itu dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) melibatkan penjual buku berdaftar dengan KPM yang akan menjalankan urusan jual beli menerusi platform tersebut.

Pada Disember tahun lalu, sebanyak 3,279,601 murid tahap dua sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah seluruh negara sudah menebus Baucar Buku MADANI bernilai RM100.

Jumlah itu mewakili 91 peratus daripada keseluruhan 3.5 juta pelajar yang layak membuat penebusan baucar buku terbabit yang mula dibuka pada 31 Mei yang lalu.

Pelaksanaan Inisiatif Baucar Buku MADANI ini memberikan tumpuan kepada lebih 3.5 juta murid sekolah dan pelajar lepasan menengah dengan tempoh penebusan dan transaksi pembelian penuh hingga akhir tahun 2024.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi