Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyarankan agar Mahkamah Syariah di Perlis menggunakan teknologi transkripsi automatik bagi memastikan rekod perbicaraan lebih tersusun.
Baginda bertitah bahawa transkripsi automatik boleh disimpan dalam bentuk digital yang memudahkan capaian oleh pihak mahkamah sejajar dengan perkembangan teknologi.
Penggunaan teknologi ini juga selaras dengan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menyediakan perkhidmatan secara elektronik melalui seksyen 72B.
Baginda juga mencadangkan penggunaan sistem “Voice to Text” bagi mentranskripsi ucapan hakim, peguam syarie, saksi dan pihak yang terlibat dalam perbicaraan secara automatik.
“Teknologi ini mampu mempercepatkan proses penyediaan Nota Keterangan dan Alasan Penghakiman untuk kes yang dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi, sekali gus menjimatkan masa dan kos berbanding dengan kaedah manual,” jelas Baginda yang juga Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Jika dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, Mahkamah Syariah Negeri Perlis berpotensi menjadi contoh kepada negeri lain dalam mengaplikasikan teknologi dalam perbicaraan,” kata DYMM Raja Muda Perlis lagi.
Sebelum itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Al-Istiqomah Teluk Jambu, Bintong dekat Kangar.
Baginda menyerahkan sumbangan tunai RM700 kepada 70 penerima terpilih dari Kampung Teluk Jambu dan 70 orang penerima yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM98,000.
Tuanku Raja Muda Perlis turut menitah tahniah kepada seluruh warga kerja Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) atas pencapaian 100 peratus penunjuk prestasi utama (KPI) dalam mempercepat penyelesaian kes di mahkamah.
JKSNPs juga berjaya melaksanakan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 dan Peraturan-peraturan Peguam Syarie Negeri Perlis 2024 bagi memantapkan perkhidmatan kehakiman syariah.
Penerima sumbangan turut berpeluang menjalani saringan kesihatan secara percuma serta mendengar ceramah “Jauhi Najis Dadah” oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Perlis dan ceramah “Bangun Jiwa Asnaf” oleh MAIPs.