Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan tentang kebocoran kertas peperiksaan Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024.
Menurut KPM, pihaknya telah selesai melakukan siasatan terperinci dengan turut mengambil kira semua sebaran dan tangkap layar berkaitan yang tular di laman media sosial.
Bahkan KPM, mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali. Tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.
“Tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan,” jelas KPM.
Justeru, KPM berkata, dakwaan itu tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan KPM.
KPM menasihati semua calon peperiksaan SPM untuk kekal tenang dan fokus dalam menghadapi peperiksaan.
KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah terjamin.