Oleh Adib MN
10 Januari 2025, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aneh sekali Charlie Hebdo, akhbar mingguan satira yang diterbitkan di Perancis sejak era 1970-an daripada golongan pelampau sayap kiri yang ateis: Mereka mengingati serangan individu militan yang berada di penjuru ekstrem yang bertentangan dan kematian sebanyak 17 nyawa termasuk 11 wartawan, kakitangan serta kartunis mereka dengan menyerang “Tuhan”.

Akhbar mingguan yang dikenali menerusi kritikan satiranya didakwa sering menimbulkan kontroversi terhadap umat Islam.

Dalam kejadian itu, serangan dilakukan oleh dua adik-beradik berketurunan Algeria, Cherif dan Said Kouachi dengan al-Qaeda Semenanjung Arab (AQAP). Mereka mengaku bertanggungjawab.

Justeru, dalam edisi yang diterbitkan pada minggu ini sempena insiden serangan yang berlaku 10 tahun lalu, iaitu 7 Januari 2015, menampilkan muka hadapan dengan kartun dibekalkan dengan keterangan “Indestructible!”, manakala empat halaman di bahagian dalam pula menyiarkan hasil pertandingan karikatur, kononnya mengejek Tuhan dan tokoh agama.

Khas bagi edisi yang mula dijual pada hari Selasa, Charlie Hebdo menganjurkan sayembara karikatur dengan satu panggilan jijik: “Hantar karikatur paling lucu dan pedas mengenai Tuhan.”

“Tentu kita boleh ketawa tentang Tuhan, terutamanya jika Dia wujud,” tulis tajuk utama atas pilihan 40 karya dipilih daripada lebih 350 penyertaan, seperti dilaporkan oleh AFP.

Sekali lagi, Rasulullah SAW menjadi subjek jahat mereka dengan karikatur seorang pelukis sedang melukis gambaran lelaki dengan keterangan: “Jika saya melukis seseorang yang sedang melukis seseorang yang melukis Nabi Muhammad, adakah itu dibenarkan?”

AFP turut melaporkan satu lagi karikatur lancang dengan menggambarkan pemimpin tiga agama – Kristian, Yahudi dan Islam – sebagai seekor anjing berkepala tiga.

Edisi itu sudah diumumkan kepada media pada mula Tahun Baharu dan sudah pun dijual minggu ini dalam acara yang turut dihadiri oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo.

Charlie Hebdo memilih untuk memperolok-olokkan sesuatu yang dianggap sebagai sakral dalam agama, kononnya atas nama kebebasan bersuara dan mencabar institusi atau simbol yang dianggap memberikan kesan kepada pemikiran dan tindak-tanduk penganutnya.

Di sinilah terletaknya kesalahan besar kerana hal ini menghina sesuatu hal yang selama ini memberikan kebaikan dan manfaat kepada penganutnya, walaupun dimanipulasi serta dieksploitasi oleh kelompok ekstrem yang wujud dalam mana-mana agama.

Yang sepatutnya disindir dan disatirakan ialah golongan ekstrem itu, bukan Allah SWT atau Rasulullah SAW dalam konteks Islam.

Walau bagaimanapun, perkara yang boleh kita harapkan kepada sidang redaksi dan kartunis Charlie Hebdo yang memusuhi semua agama dengan Islam menjadi antara sasaran paling jahat mereka.

Malah, atas kebencian kepada Islam atau Islamofobia, ketika Turkiye dan Syria dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada skala Richter pada 6 Februari 2023, Charlie Hebdo terus memuat naik karikaturnya dalam kolum keterangan Le dessin du jour atau Lukisan Hari Ini di akaun rasmi Twitternya (kini X).

Tidak ada alasan untuk Charlie Hebdo menyiarkan karikatur yang memaparkan lukisan bangunan rosak dan sebuah kereta terbalik dan puing runtuhan dengan keterangan “Meme pas besoin denvoyer de chars” yang bermaksud “Tidak perlu hantar kereta kebal”, kecuali kebencian kepada Islam dan umatnya.

Gempa bumi itu mengorbankan 56,000 nyawa di kedua-dua negara, manakala 8.8 juta penduduk terjejas akibat dua kali gegaran.

Pada hakikatnya, berdasarkan karikatur yang sangat jahat dan jijik yang menggambarkan Islamofobia, terutamanya dengan menghina Rasulullah SAW, Charlie Hebdo mungkin diserang setiap hari sekiranya majoriti umat Islam bersifat ganas.

Walau bagaimanapun, di sebalik tindakan Charlie Hebdo yang tidak serik-serik memperolok-olokkan Islam, umat Islam hanya setakat berdemonstrasi, berhimpun dan berarak dengan membantah akhbar itu yang sebenarnya bertepatan dengan falsafah daripada perjuangan hak asasi Barat itu sendiri.

Selain serangan pada 7 Januari itu, insiden ganas yang membabitkan Charlie Hebdo hanya berlaku beberapa kali termasuklah diserang oleh Daesh.

Malah, al-Qaeda dan Daesh tidak diiktiraf mewakili umat Islam dari semua segi sehingga ulama dan ilmuwan, institusi serta pertubuhan Muslim di seluruh dunia mengecam kelompok yang disifatkan mengikut aliran Khawarij yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Dalam banyak kejadian juga, ulama dan umat Islam sendiri menjadi mangsa keganasan kepada kedua-dua golongan itu, seperti yang berlaku di Iraq serta Syria serta kelompok berbaiah dengan kedua-duanya di tempat lain termasuklah di Afrika.

Dari sisi lain pula, sambutan yang diberikan oleh pemimpin dunia terutamanya Eropah terhadap acara mengenang serangan itu juga “aneh”. Canselor Jerman, Olaf Scholz memuat naik hantaran di laman X: “Serangan barbarik itu menyasarkan nilai bersama kebebasan dan demokrasi yang kita sama sekali tidak dapat menerimanya.”

Ketika Scholz mengenang kematian belasan nyawa itu, serangan genosid Israel di Gaza meragut lebih 46,000 nyawa dengan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendedahkan analisis pihaknya yang menganggarkan hampir 70 peratus daripada mangsa dikenal pasti ialah wanita dan kanak-kanak.

Jika serangan militan terhadap pejabat Charlie Hebdo yang menyasarkan nilai kebebasan dan demokrasi bersama, maka serangan genosid Israel yang masih cuba diberikan justifikasi termasuk oleh Scholz adalah jauh lebih ngeri dan mengancam, iaitu bukan sahaja nilai kebebasan dan demokrasi bersama, bahkan kemanusiaan itu sendiri.

Pada hakikatnya, jika kita mahu mengenang serangan berdarah yang sebenarnya sudah dikecam awal-awal oleh umat Islam di sebalik kemarahan kepada kelancangan dan kecabulan Charlie Hebdo – maka kita perlu mencari penyelesaian supaya bukan sahaja “nilai” kebebasan dan demokrasi dipelihara, bahkan nilai agama juga tidak dicabuli secara jahat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.