Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memperuntukkan RM9,065,700 untuk Bantuan Persekolahan MAIPs bagi tahun 2025.
Menurut MAIPs, jumlah tersebut akan disalurkan kepada 5073 orang pelajar sekolah menengah, 38 orang pelajar sekolah menengah agama rakyat, 7802 orang pelajar sekolah rendah dan 38 orang pelajar sekolah rendah agama rakyat. Setiap pelajar yang layak di negeri ini akan menerima RM700.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kepada Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dalam majlis yang diadakan di Surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam Pauh Putra.
Baginda yang juga Tuanku Yang DiPertua MAIPs bertitah bahawa semua pihak hendaklah sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini.

Sementara itu, saban tahun MAIPs akan menyalurkan bantuan persekolahan untuk dimanfaatkan oleh ribuan pelajar di seluruh negeri Perlis.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menasihatkan penerima agar menjadikan bantuan tersebut sebagai inspirasi untuk terus berusaha keras dan memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya.
“Semoga bantuan ini dapat memberikan semangat serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan anak-anak pelajar yang dikasihi. Jadilah generasi yang bersyukur dan membawa perubahan positif bukan hanya untuk diri sendiri, bahkan keluarga, masyarakat, agama, bangsa, negeri dan juga negara,” titah baginda.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Pendidikan Negeri, Muhammad Azmir Azizan; Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Hadir sama bagi menerima cek cura masing-masing ialah wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk sekolah-sekolah agama, majlis guru besar untuk sekolah rendah dan majlis pengetua untuk sekolah menengah.