Diterbitkan pada 19 Januari 2025, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustafa hari ini melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51 yang bakal diraikan pada 1 Februari ini.

Dalam program yang sama pagi tadi bersempena dengan Majlis Pelancaran Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST), beliau berkata, sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diadakan setiap tahun dimulakan dengan semangat patriotisme melalui Kempen Kibar Bendera.

Tahun ini, sebanyak 72 000 bendera Wilayah Persekutuan akan diagihkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan.

“Selama 51 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan, kita telah menempuhi pelbagai cabaran dan mencapai pelbagai kejayaan. Ketiga-tiga wilayah ini membawa nilai dan identiti unik. Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, dan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa,”ujarnya.

Hari Wilayah Persekutuan 2025 bakal dimeriahkan dengan lebih 60 program menarik sepanjang Februari.ialah

Tahun ini, kata beliau tema “Wilayah Persekutuan Kita” diangkat bagi menzahirkan semangat bahawa Wilayah Persekutuan  ialah milik bersama. Tema ini menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam menjaga dan memajukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan demi kesejahteraan bersama.

Pada masa yang sama katanya, sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 akan dimeriahkan dengan lebih 60 program menarik sepanjang Februari.

“Oleh itu, saya mengajak semua warga Wilayah Persekutuan untuk menyertai pelbagai aktiviti yang telah dirancang agar sambutan ini lebih bermakna buat kita semua,” katanya.

Terdahulu beliau telah melancarkan BeST di Bukit Bintang yang turut dilaksanakan serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. Kempen ini sejajar dengan visi Bandar CHASE, iaitu kebersihan menjadi komponen utama dalam membentuk Clean City.

Justeru, katanya inisiatif kerajaan sahaja tidak mencukupi tanpa pelibatan aktif komuniti setempat. Semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan kawasan yang didiami ini kekal bersih dan terjaga.

“Semasa tinjauan di Bukit Bintang, saya telah memberikan beberapa arahan kepada Datuk Bandar, antaranya termasuklah penambahbaikan tong sampah kecil dan penutup longkang yang telah rosak serta usaha mencantikkan di kawasan pembangunan agar pemandangan bandar lebih terjaga,” ujarnya.

 

 

Kredit Foto: Facebook Dr Zaliha Mustafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi