Diterbitkan pada 23 Januari 2025, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam menelusuri era globalisasi ini, platform e-dagang kian bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan impak pertambahan ini memberikan kemudahan kepada masyarakat dalam mendapatkan pelbagai barangan tanpa perlu keluar dari rumah kerana semuanya di hujung jari sahaja. Masyarakat kini lebih memilih untuk membeli barangan melalui platform e-dagang kerana jika dibandingkan dengan harga barangan antara platform e-dagang dengan harga di kedai, boleh dikatakan harga barangan dalam platform e-dagang jauh lebih murah dan berpatutan berbanding dengan harga di kedai.

Dengan hanya perlu menaip sahaja nama produk yang ingin dibeli dalam kolum carian, pasti pelbagai jenis jenama dan julat harga untuk sesuatu produk yang dicari akan tertera pada skrin. Tidak terlepas juga, produk kesihatan yang banyak dipasarkan dalam platform e-dagang. Antara produk kesihatan yang laris dijual di platform e-dagang kini termasuklah suplemen kurus, suplemen protein, vitamin tambahan dan pil pelangsing badan. Walaupun berlaku lambakan produk ini dalam platform e-dagang, namun adakah semua produk itu selamat digunakan dan mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Perkara tersebut merupakan persoalan yang perlu difikirkan sejenak sebelum pengguna membeli sesuatu produk khususnya produk kesihatan.

Hal ini ditambah lagi dengan dakwaan melampau atau overclaim sesetengah produk kesihatan yang agak keterlaluan dan tidak masuk akal. Mungkin segelintir pembaca berasa mustahil tentang kewujudan produk tersebut yang bebas dipasarkan di kedai atau platform e-dagang. Sekiranya anda melakukan tinjauan di kedai atau platform e-dagang yang menjual produk kesihatan, pasti anda akan menemukan beberapa produk yang membuat dakwaan melampau yang tertulis di kotak atau poster jualannya.

Sebagai contoh, dakwaan melampau yang rata-rata terdapat dalam produk suplemen kurus ialah ubat tersebut dapat menguruskan badan dalam masa terdekat tanpa perlu berbuat apa-apa, hanya minum atau makan suplemen tersebut, badan akan beransur kurus serta-merta. Perkara ini merupakan dakwaan melampau dan penipuan yang berlegar dalam kalangan masyarakat kita. Lebih malang lagi, terdapat pula segelintir masyarakat mempercayai dakwaan tersebut dan hal ini amat membimbangkan. Mudahnya segelintir masyarakat termakan dakwaan yang tidak logik dan pelik ini. Mungkin juga terdapat beberapa produk yang terbukti berkesan namun tidaklah sehingga dakwaannya melampaui batas. Dengan dakwaan melampau seperti hanya perlu minum atau makan produk tersebut dan boleh kurus dengan cepat tanpa melakukan sebarang senaman, perkara tersebut adalah agak mustahil kerana proses menguruskan badan memakan sedikit masa dan perlu memiliki disiplin pemakanan yang tinggi.

Punca Tercetusnya Dakwaan Melampau dalam Iklan Produk Kesihatan

Terdapat beberapa punca utama yang menggalakkan perlakuan dakwaan melampau tentang produk kesihatan di pasaran negara kita. Antara punca berlakunya dakwaan melampau ini ialah sikap penjual dalam mempromosikan produk jualannya. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap penjual pasti mahukan keuntungan terhadap jualannya. Rata-rata penjual akan mempromosikan kelebihan dan manfaat produk jualan. Mempromosikan sesuatu barangan atau jualan tidak menjadi kesalahan malah perkara tersebut merupakan hak seseorang penjual. Namun begitu, gaya promosi dengan mewujudkan dakwaan yang melampaui akal yang logik itu yang menjadi masalah.

Antara contoh dakwaan melampau yang tidak logik dek akal yang dipromosikan oleh penjual produk suplemen protein tambahan ialah satu paket suplemen yang  dijualnya mempunyai 500 gram protein per satu hidangan. Mungkin pembaca akan berasa sangsi dan mempersoalkan bahawa “adakah wujud produk yang memiliki dakwaan sedemikian rupa”? Pada hakikatnya, produk dengan dakwaan melampau  ini memang wujud dan dipasarkan secara meluas. Lebih parah lagi, terdapat juga segelintir masyarakat yang termakan dengan dakwaan tersebut. Perkara ini merupakan suatu kegusaran jika produk yang dipasarkan ini terus-menerus mendapat sambutan kerana hal tersebut berkemungkinan merisikokan kesihatan masyarakat Malaysia.

Selain itu, punca dakwaan melampau ini berleluasa adalah kerana kurangnya pendedahan undang-undang kepada penjual. Mungkin masyarakat boleh mengandaikan bahawa penjual produk ini berkemungkinan tidak mengetahui  tentang undang-undang yang telah dikuatkuasakan berkaitan dengan kaedah mempromosikan barangan di Malaysia. Di Malaysia, terdapat Kod Amalan Pengiklanan (KOD) yang menjadi piawaian atau garis panduan umum untuk sebarang bentuk pengiklanan barang jualan sama ada produk kesihatan dan sebagainya. Sekiranya penjual yang membuat dakwaan melampau tersebut membaca dan meneliti butiran kod ini, maka mereka akan menyedari kesalahan yang telah mereka lakukan.

Dari segi akta, terdapat Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan Akta Makanan 1988 yang diwartakan untuk menjaga kualiti dan pemasaran produk kesihatan di Malaysia. Contohnya penguatkuasakan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956  bertujuan menghalang pengiklanan yang berkaitan dengan hal-hal perubatan dan mengawal selia penjualan bahan-bahan yang disyorkan sebagai ubat (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2024). Oleh itu, dapat diketahui bahawa sebenarnya terdapat akta-akta yang cuba menjadi benteng kepada isu ini, namun akta tersebut tidak sepenuhnya berkemampuan dalam menghalang isu ini daripada terus melarat.

Langkah Membendung Dakwaan Melampau pada Produk Kesihatan

Antara langkah yang mudah dan mampu dilakukan oleh semua masyarakat adalah dengan memboikot produk tersebut. Kaedah memboikot sesuatu produk merupakan satu daripada tindakan yang berkesan dan ampuh dalam memberi kesedaran kepada penjual sesuatu produk. Dengan memboikot barangan tersebut, maka penjual akan mula menyedari kesalahannya dan melakukan “bedah siasat” untuk mendapatkan jawapan tentang mengapa produk jualannya diboikot. Namun begitu, hal tersebut hanya akan terjadi sekiranya penjual tersebut menyedari produknya diboikot kerana isu dakwaan melampau tersebut.

Namun begitu, sekiranya kaedah memboikot tidak mendatangkan kesan, maka kita perlu menggunakan saluran undang-undang, iaitu dengan membuat aduan terhadap produk tersebut. Aduan kepada pihak berkuasa dilakukan sekiranya kita mendapati bahawa sebarang barangan atau produk khususnya produk kesihatan kelihatan mencurigakan seperti tidak memiliki pendaftaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memiliki dakwaan-dakwaan pelik serta melampau. Sebarang aduan berkaitan dengan produk atau barangan boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang https://moh.spab.gov.my/, iaitu platform utama rakyat Malaysia untuk melakukan sebarang aduan berkaitan dengan permasalahan awam. Aduan-aduan yang dikemukakan dalam platform ini akan disiasat dan tindakan segera akan diambil oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Produk-produk kesihatan yang memiliki dakwaan melampau ini boleh dikatakan semakin “membiak” dalam pasaran negara. Perkara ini menjadi kebimbangan sekiranya tidak dibendung dengan kadar segera kerana masalah ini berpotensi merisikokan kesihatan rakyat Malaysia. Malah produk yang memiliki dakwaan melampau ini juga boleh dikatakan sebagai suatu bentuk penipuan kerana berjaya memperdaya pembeli untuk membeli produk tersebut walhal hasil dari penggunaan produk tersebut ibarat indah khabar dari rupa. Maka itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam membendung perkara ini daripada terus membarah agar kita dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang cakna tentang sebarang isu yang mampu mengugat kesihatan mental dan fizikal rakyat malaysia.

Kredit Foto: Pexels
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi