Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini telah bersetuju untuk memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus dari kadar tol biasa bersempena dengan Perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
Menurut beliau, keputusan memberikan diskaun sebanyak 50 peratus dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Beliau berkata, pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh kerajaan bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
Sepanjang tempoh tersebut kata beliau, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024.
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024. Walau bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda kerajaan dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, jelas beliau, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaik-sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini. “Pengguna disarankan untuk memuat naik apps MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya kita semua dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sebenar sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini,” tambah beliau.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberikan isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa.
“Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik). Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1- 800-88-7752 untuk memperoleh keadaan trafik terkini atau bantuan. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” ujarnya.