Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Sungai Petani – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) menyerah sumbangan bantuan sebanyak RM45,000 kepada 150 orang daripada golongan kurang berkemampuan bersempena dengan Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di The Tadiqa Hall, Kelab Cinta Sayang Resort, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan YSB, Yang Teramat Mulia Datin Paduka Dato’ Tunku Hajah Nafisah Almarhum Sultan Badlishah menyampaikan sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah (B40), serta golongan kurang upaya dalam kalangan masyarakat Cina di negeri Kedah.
Yang Teramat Mulia Tunku dalam ucapannya turut berkata,
Bantuan ini merupakan tanda keprihatinan YSB terhadap mereka yang memerlukan sejajar dengan matlamat YSB.
Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban dan memberikan sinar kegembiraan kepada mereka sempena perayaan yang bakal disambut itu.
Masyarakat Cina di seluruh Malaysia akan menyambut Tahun Baharu Cina mulai 29 Januari ini yang merupakan Tahun Ular dan menurut kalendar zodiak Cina, Tahun Ular melambangkan kebijaksanaan, kekuatan dan keberanian menghadapi cabaran.
Menurut YSB, selain sumbangan yang berjumlah RM45,000, bantuan turut diagihkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah.
Pada tahun ini, penerima sumbangan adalah dari daerah Kuala Muda, Yan dan Kulim.
Setiap tahun, YSB ambil peluang mengadakan sumbangan perayaan bagi meraikan kepelbagaian kaum bermula dari Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Deepavali bagi menunjukkan semangat perpaduan dan sikap toleransi sesama masyarakat majmuk khususnya di Kedah.

Sementara itu, YTM Tunku juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada para penyumbang lain yang turut memberikan sokongan dan sumbangan dalam majlis berkenaan. Antaranya, termasuklah Jin Bin Corporation Sdn. Bhd., President Sign Sdn. Bhd. dan Eupe Corporation Berhad.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kedah, YB Encik Wong Chia Zhen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, YB Encik Adam Loh Weh Chai; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Bahagian Pembangunan dan Pelupusan Tanah) daerah Kuala Muda, Puan Nor Hafizah Md Rejab; serta Ahli-Ahli Lembaga Amanah YSB dan wakil-wakil dari Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).