Diterbitkan pada 1 Februari 2025, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, keharmonian dan perpaduan perlu diutamakan dalam mengejar arus pembangunan negara di samping membentuk kestabilan pentadbiran negara.

Beliau berkata demikian dalam mesej yang dimuat naik di akaun media sosialnya sempena Hari Wilayah Persekutuan ke-50 hari ini yang disambut pada setiap 1 Februari khususnya buat seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sehubungan dengan itu, beliau juga berkata bahawa roh ihsan yang senantiasa menekankan kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga, nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan bersama-sama.

“Selamat menyambut ulang tahun buat seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Sambutan ini selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita semua untuk menggenggam erat tali permuafakatan dalam menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara, baik untuk hari ini dan juga hari mendatang,”

Perdana Menteri turut mendoakan kesatuan dan kebersamaan yang ada dalam kalangan rakyat Malayasia ini dapat terus berkekalan dengan kehendak Allah SWT.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi