Diterbitkan pada 2 Februari 2025, 00:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Lima teras visi “C.H.A.S.E CITY” mengangkat martabat tiga wilayah persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YBrs. Dr. Zaliha Mustafa menerusi laporan khas Buletin TV3 bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan pada pagi semalam.

Lima teras visi tersebut merangkumi Bandar Bersih, Bandar Sihat, Bandar Maju, Bandar Selamat dan Bandar Mesra Alam.

Menerusi siaran langsung tersebut, wilayah persekutuan dikatakan bukan sekadar menjadi lokasi perniagaan dan tempat tinggal, malah perlu menjadi sebuah bandar raya yang tinggi dengan nilai kemanusiaan.

Tegas YBrs. Dr. Zaliha Mustafa,

Kita tidak mahu melihat bandar raya yang canggih dengan teknologi sahaja, tetapi kita mengambil kira entiti-entiti yang kelihatan kecil namun sebenarnya memberikan impak yang sangat besar.”

“Unsur-unsur ini kita perlu masukkan sekali dalam perancangan dan kita letakkan sebagai visi agar kita tidak ketinggalan dalam melihat semua aspek yang berkaitan pembangunan yang seimbang.

Beliau turut mengakui bahawa cabaran pembangunan ketiga-tiga wilayah tersebut juga membabitkan isu legasi yang perlu ditangani dengan teliti dan tidak mengetepikan kepentingan masyarakat.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri Maimumah Mohd Sharif, dalam memastikan perancangan bandar di KL benar-benar tersusun di samping mengekalkan keharmonian penduduknya, satu tindakan akan dikenakan kepada mana-mana individu atau gerai yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang termaktub di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tegas beliau,

Kita akan melihat Kuala Lumpur ini membuat satu penguatkuasaan atau program yang berkala.

Menerusi laporan khas itu juga, sebuah pendekatan yang dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu, iaitu Kuala Lumpur Strike Force dilihat sebagai satu daripada pendekatan yang terbaik dalam menyatukan semua agensi kerajaan untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan.

Sementara itu, menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, YBhg. Datuk Fadlun Mak Ujud, dalam usaha untuk menggerakkan pusat pentadbiran kerajaan, iaitu Putrajaya sebagai bandar pintar yang berwawasan tanpa meminggirkan keperluan rakyat, seperti pengangkutan awam dan kemudahan parkir, kerjasama yang padu telah dilakukan bersama-sama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ujar beliau,

Kita sedang bekerjasama dengan pihak JKR yang membantu kita membina tempat letak kereta di atas jalan untuk mengurangkan kesesakan.

Tambah beliau,

Perkara ini merupakan inovasi baharu kerana pembangunan tanah untuk tempat letak kereta, melibatkan faktor keperluan membeli tanah dan sebagainya.

Manakala, bagi Wilayah Persekutuan Labuan yang dihuni oleh lebih 100 ribu orang penduduk, wilayah ini turut dilihat sebagai kawasan yang mempunyai pelbagai potensi khususnya dalam sektor pelancongan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Encik Mohd Sukuran Taib menyatakan bahawa beliau ingin memberi penekanan kepada sektor pelancongan agar limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua penduduk di sana.

Penekanan kepada sektor pelancongan diberi keutamaan dalam jangka masa pendek supaya kita dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk melancong ke Labuan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi