Diterbitkan pada 3 Februari 2025, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah kepada seluruh ahli Parlimen agar membahaskan agenda kepentingan rakyat, seterusnya menjadi benteng perpaduan negara bukannya sebagai agen perpecahan rakyat.

Baginda bertitah supaya segelintir ahli Parlimen menghentikan tindakan berpolitik atas setiap isu dan tidak hanya mementingkan parti yang diwakili atau kelompok sendiri sahaja.

“Beta perhatikan dalam persidangan dewan pada tahun lalu, ahli-ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua. Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem di negara kita.

“Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat undang-undang digubal dan medan semak dan imbang dalam pentadbiran negara. Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah,” titah baginda bersempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada hari ini.

Baginda bertitah masih ada segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama tersebut, namun baginda percaya setiap ahli sedar dan tahu untuk menjaga tingkah laku masing-masing.

Pada masa yang sama, baginda mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan, iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang telah mencapai sebanyak 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara telah melepasi angka dua trilion ringgit untuk tempoh sembilan bulan pertama.

Oleh hal yang demikian, YDPA Sultan Ibrahim turut menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan. Titah banginda, kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberikan keuntungan kepada kumpulan tertentu.

“Oleh itu, saya menggesa agar subsidi bersasar tersebut diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja,” titah baginda.

Berdasarkan takwim dalam laman rasmi Parlimen Malaysia, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Februari.

Sidang Parlimen kemudian akan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri yang berkaitan pada 19 hingga 25 Februari, manakala sesi pembentangan rang undang-undang berkaitan dengan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula pada 26 Februari.

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi