Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Ketil – Research Interest Group (RIG) CommUniCare, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Persatuan Prihatin Komuniti Negeri Perlis telah menganjurkan program Dasar Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ziarah Inspirasi Kembali Ke Sekolah bersama-sama dengan Anak Yatim Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam, Kuala Ketil, Kedah.
Program ini bertujuan memberikan sokongan moral kepada anak-anak yatim serta pelajar asnaf dalam mempersiapkan diri mereka untuk kembali ke sekolah selepas cuti panjang.
Program yang memberikan manfaat kepada 30 orang anak yatim dan pelajar asnaf ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dengan pelibatan lapan orang pensyarah dari UiTM Cawangan Perlis.
Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang hadir merasmikan program tersebut, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan terhadap program ini.

“Kami berharap lebih ramai individu serta organisasi akan turut serta menjayakan usaha-usaha yang memberikan impak positif kepada masyarakat, khususnya anak-anak yatim yang memerlukan perhatian kita,” ujar beliau.
Sebagai sebahagian daripada CSR, program ini bertujuan memberikan semangat kepada anak-anak yatim dan pelajar asnaf serta meringankan beban mereka dengan menyediakan keperluan sekolah seperti beg sekolah, alat tulis dan keperluan lain yang diperlukan untuk memulakan tahun akademik yang baharu.
Inisiatif ini sejajar dengan polisi kerajaan Malaysia yang menekankan tentang kepentingan tanggungjawab sosial korporat sebagai elemen penting dalam pembangunan negara.
Sebagai sebuah organisasi yang prihatin terhadap kesejahteraan komuniti, CommUniCare berharap dapat memberikan peluang kepada anak-anak ini untuk merasai kegembiraan dan semangat baru dalam perjalanan pendidikan mereka.
“Program ini bukan hanya sekadar penyampaian barangan keperluan, tetapi juga usaha untuk mendekatkan mereka dengan masyarakat dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk terus berjaya walaupun dalam keadaan yang penuh cabaran,” kata CommUniCare.
CommUniCare turut menyediakan sesi ceramah tentang kepentingan pendidikan dan penjagaan diri yang positif, agar mereka dapat menimba ilmu dan mengejar cita-cita mereka dengan penuh keyakinan.
Program dimulakan dengan sesi ziarah dan ramah mesra bersama-sama dengan anak-anak yatim di Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam, diikuti dengan majlis penyerahan sumbangan serta aktiviti motivasi.
Turut hadir bagi menyambut delegasi UiTM Cawangan Perlis ialah Pengurus Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam & Pentadbir Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam, Ustaz Mohamad Rosli Yahaya, Guru Besar SK Kuala Samak dan sukarelawan dari Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam, Cikgu Abdul Ghani Mat Ali.