Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCukai merupakan asas penting dalam memastikan kelangsungan sesebuah negara. Cukai merupakan bayaran yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang perseorangan, perbadanan, syarikat, barangan dan lain-lain untuk perbelanjaan negara. Walaupun cukai dianggap sebagai beban oleh sesetengah individu, namun realitinya cukai merupakan sumber utama pendapatan kerajaan yang membolehkan penyediaan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada rakyat. Hasil daripada cukai ini digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat. Hal ini termasuklah subsidi pendidikan bagi membolehkan para pelajar belajar di sekolah awam dengan yuran minimum serta bantuan kesihatan yang memberi akses rawatan di hospital kerajaan dengan kos yang rendah yang dibiayai sebahagian besarnya daripada kutipan cukai.
Melalui kutipan cukai, faedah yang diperoleh oleh masyakat dapat dinikmati secara bersama. Tanpa cukai, adalah sukar bagi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat. Oleh hal yang demikian, kesedaran bahawa cukai merupakan satu bentuk pelaburan sosial untuk kesejahteraan masa depan amatlah penting.
Di Malaysia, terdapat dua jenis cukai utama,iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung. Cukai langsung ialah cukai yang dikenakan secara langsung ke atas pendapatan atau kekayaan individu atau perniagaan yang dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau HASiL. Cukai Langsung di Malaysia termasuklah Cukai Pendapatan, Cukai Keuntungan Harta Tanah, Cukai Perniagaan, Cukai Petroleum, Duti Setem, Duti Harta Pusaka dan cukai lain yang telah dipersetujui oleh kerajaan dan LHDN. Manakala cukai tidak langsung pula ialah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang diimport atau dijual di Malaysia. Antaranya ialah Cukai Jualan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Cukai Eksais dan Cukai Import.
Cukai pendapatan dikenakan ke atas individu untuk pendapatan yang diperoleh di Malaysia atau diterima dari luar Malaysia pada setiap tahun taksiran. Seseorang individu perlu mendaftar sebagai pembayar cukai pendapatan jika memperoleh pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan. Sekiranya pendapatan kurang daripada had cukai, mana-mana pihak disyorkan untuk mendaftar dengan LHDN dan melaporkan pendapatan masing-masing. Pendapatan bercukai dikira dengan menjumlahkan semua pendapatan yang diperoleh (gaji, dividen, hasil sewaan, royalti, ganjaran, hadiah) tolak pengecualian cukai, pelepasan cukai yang dibenarkan dan potongan cukai. Jika pendapatan melebihi RM 34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB), individu tersebut layak dikenakan cukai termasuklah mereka yang bekerja sendiri dan mempunyai perniagaan sendiri.
Namun begitu, dalam konteks Malaysia, tahap kesedaran tentang pembayaran cukai dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah. Pada tahun 2023, sebanyak 180,216 orang dikenakan tindakan sekatan ke luar negara oleh LHDN kerana gagal membayar cukai berjumlah RM7.93 bilion. Malah, terdapat segelintir individu yang belum mengisytiharkan pendapatan mereka di LHDN walaupun telah layak. Hal ini berikutan tahap kesedaran yang rendah terhadap kepentingan membayar cukai.
Sehubungan dengan itu, pelbagai langkah perlu diambil bagi memastikan masyarakat Malaysia celik dan cakna tentang kepentingan membayar cukai. Pihak kerajaan perlu menggiatkan lagi kempen kesedaran dan pendidikan awam kepada masyarakat. Sebagai contoh, pelaksanaan kempen penerangan tentang cukai untuk manfaat bersama seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan perlu dilakukan dari semasa ke semasa.
Selain itu, silibus atau topik cukai dalam kurikulum sekolah boleh diperkenalkan bagi memastikan generasi muda terdedah dengan kefahaman dan tanggungjawab membayar cukai sejak awal. Hal ini penting agar setiap golongan mendapat kesedaran dan pendidikan mengenai cukai tanpa terkecuali. Hebahan mengenai kempen kesedaran cukai juga perlu ditingkatkan agar masyarakat sentiasa cakna mengenai pembayaran cukai. Antara medium yang efektif pada masa ini selain media massa termasuklah melalui penggunaan platform digital. Penggunaan infografik, video pendek dan testimoni individu yang berjaya melalui sokongan kerajaan hasil cukai boleh membantu dalam mendidik masyarakat.
Pada masa yang sama, usaha mempermudah proses pembayaran cukai merupakan satu langkah bijak yang dapat memudahkan masyarakat untuk komited membayar cukai tanpa culas. Dengan bantuan teknologi seperti platform digital, kerajaan boleh membangunkan sistem pembayaran cukai secara dalam talian yang lebih mesra pengguna, mudah diakses dan telus termasuklah aplikasi mudah alih dan laman web yang memudahkan pendaftaran, pengisian borang cukai dan pembayaran. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh memikirkan alternatif lain seperti mewujudkan perkhidmatan sokongan dengan menyediakan pusat bantuan atau khidmat pelanggan yang dapat membantu menjawab soalan dan menyelesaikan masalah teknikal semasa membayar cukai. Kadangkala, apabila berlaku permasalahan teknikal berkaitan dengan pembayaran cukai, individu tidak dapat meneruskan proses seterusnya. Akibatnya, mereka menjadi malas untuk membayar cukai dan menangguhkan proses pembayaran sehingga terlupa.
Pihak kerajaan juga boleh melaksanakan insentif memberi diskaun atau ganjaran kepada pembayar cukai yang mematuhi jadual pembayaran dan tidak mempunyai rekod cukai tertunggak. Hal ini dapat menggalakkan lebih ramai pembayar cukai dapat membayar cukai mengikut tempoh seperti yang ditetapkan bagi merebut ganjaran atau diskaun yang diperkenalkan.
Di samping itu, pemantauan yang lebih rapi perlu dibuat oleh pihak kerajaan dalam memastikan pemantauan terhadap syarikat dan individu yang mempunyai pendapatan yang tinggi untuk mengurangkan kes pengelakan cukai. Pemantauan secara berkala terhadap syarikat atau individu yang berpotensi dapat memastikan setiap golongan yang telah layak membayar cukai tidak terlepas daripada membayar cukai.
Antara inisiatif lain yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi menjustifikasikan aliran cukai tersebut adalah dengan menerbitkan laporan cukai tahunan mengenai perbelanjaan hasil kutipan cukai dibelanjakan termasuklah projek-projek pembangunan yang sedang dijalankan. Hal ini secara tidak langsung dapat memberi maklumat yang jelas kepada pembayar cukai dan masyarakat amnya tentang aliran cukai tersebut. Apabila laporan tersebut dikongsi kepada mereka, secara tidak langsung dapat memberikan kesedaran dan motivasi kepada mereka tentang tanggungjawab mereka terhadap negara dan masyarakat.
Walaubagaimanapun, sekiranya masih terdapat golongan yang masih mengabaikan tanggungjawab untuk membayar cukai, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu diambil seperti memperketat penguatkuasaan undang-undang dan mengenakan hukuman denda yang lebih berat serta penalti tambahan kepada mereka yang gagal membayar cukai atau cuba mengelak cukai. Sebagai contoh, larangan untuk keluar negara serta tidak dapat memperbaharui lesen, pasport dan sebagainya.
Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, masyarakat akan lebih memahami akan kepentingan cukai dan lebih bermotivasi untuk mematuhi tanggungjawab dalam menguruskan cukai masing-masing yang pada akhirnya dapat membantu negara mencapai pembangunan yang mampan. Oleh itu, setiap orang berperanan untuk mengambil tahu tentang kepentingan cukai dan sentiasa celik cukai kerana merupakan tanggungjawab bersama yang dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.