Diterbitkan pada 2 Mac 2025, 13:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gambang – Majlis Peluncuran Sambutan Jubli Perak Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) menyaksikan persembahan Tarian Zapin Tujuh Nasihat mewarnai sambutannya pada kali ini.

Tarian zapin yang dipersembahkan di hadapan para hadirin tersebut menampilkan 12 orang pelajar KMPh yang berbakat dengan menggayakan pakaian pendekar wanita.

Penari, Farina Haifa Mohd Farizal, 19 tahun berkata, koreografi “Tarian Zapin Tujuh Nasihat” merupakan adaptasi daripada pengalaman pasukan beliau sepanjang mempersembahkan tarian tersebut.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pakaian penari tidak menggunakan kain sebagai asas kepada tarian zapin berkenaan dan gerak tarinya pula terdiri daripada gabungan zapin tradisional dan moden sesuai dengan lagu 7 Nasihat yang dibawa oleh pasukannya.

Farina Haifa Mohd Farizal, pelajar KMPh.

Kami persembahkan tarian itu dengan memakai pakaian pendekar wanita atau wanita feminin yang berjaya dan mampu hidup dalam dunia yang mencabar sambil menyelitkan semangat Tun Teja dalam tarian zapin tersebut.

Tarian yang kami persembahkan juga merupakan zapin moden, iaitu gerakan tarian zapin tradisional dengan sedikit pergerakan kontemporari seperti elemen hip hop.

Tambah beliau lagi, penghasilan koreografi tarian merupakan ilham beliau bersama-sama dengan rakannya yang diambil daripada lirik lagu 7 Nasihat yang memerihalkan tentang nasihat yang perlu dipegang dan diabadikan oleh seseorang yang ingin berjaya dalam hidup.

“Tujuh nasihat yang dipegang tersebut bukan sekadar kata-kata tetapi sebuah azimat yang menjadikan wanita lebih berdaya saing, bijaksana dan berani menghadapi dunia yang mencabar,” ujarnya.

Barisan penari “Tarian Zapin 7 Nasihat” yang merupakan pelajar KMPh.

“Keayuan dan kelembutan dalam Tarian Zapin Tujuh Nasihat bukan melambangkan kelemahan serta kekurangan, sebaliknya perkara tersebut merupakan senjata,” katanya.

Falsafah wanita yang mempunyai prinsip dan keteguhan hati bukan pada fizikal semata-mata tetapi pada jiwa dan mindanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Penasihat Kelab Pawana Tari KMPh, YBrs. Puan Mili Malina Mohamed kerana memberikan ruang yang luas kepada pasukannya untuk mencuba pendekatan yang baharu dalam tarian itu.

Antara tarian lain yang turut dipersembahkan dalam majlis itu termasuklah tarian etnik yang membabitkan 55 orang pelajar berbangsa Cina dan India.

Sementara itu, Majlis Peluncuran Sambutan Jubli Perak Program Matrikulasi KPM merupakan sebuah wadah bagi meraikan kejayaan kolej matrikulasi melahirkan pelajar prauniversiti dalam aliran sains, teknikal dan perakaunan sepanjang 25 tahun sejak penubuhannya.

Perasmian majlis dengan tema “Matrikulasi 25: Mewarnai Generasi MADANI Masa Hadapan” telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM, YBrs. Tuan Haji Mohd Kassim Haji Jaafar, pegawai-pegawai kanan Bahagian Matrikulasi KPM dan para pelajar.

Kredit Foto: Nasrul Isyam Abdul Hamid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi