Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Program Berbuka Puasa bersama-sama dengan Menteri Besar Kedah yang berlangsung di Dataran Masjid Zahir menjadi sebuah platform penting dalam memberikan peluang kepada syarikat tempatan untuk turut serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan merapatkan hubungan silaturahim dalam bulan Ramadan yang penuh barakah.
Beberapa buah agensi dan syarikat tempatan turut menyokong program ini, antaranya termasuklah Murtadha Dakwah Centre (MADAD) yang menyediakan hidangan makanan berkhasiat; Titimerah Sdn. Bhd. dengan minuman segar (air balang) dan syarikat Unifi yang turut membekalkan air balang untuk menyemarakkan suasana berbuka.
Ketua Pegawai Eksekutif Titimerah Sdn. Bhd., Encik Muhd Amirun Azhar menyatakan bahawa program berbuka puasa ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat, tetapi juga menjadi contoh nyata semangat kebersamaan dalam masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Majlis ini juga memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat secara langsung dalam memberi sumbangan kepada masyarakat, sekali gus memupuk nilai-nilai kebaikan dan kepedulian dalam kalangan semua pihak.”
Menteri Besar Kedah, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor tampil ramah dan mesra dengan menyantuni pelbagai golongan masyarakat sepanjang majlis berbuka puasa.
Kepimpinan beliau yang penuh prihatin bukan sahaja menunjukkan komitmen untuk memimpin, tetapi juga untuk merasai kegembiraan bersama-sama dengan rakyat.
Majlis yang penuh bermakna ini turut disertai oleh beberapa orang tetamu kehormat yang mempamerkan semangat perpaduan serta komitmen terhadap kesejahteraan masyarakat, antaranya termasuklah Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Exco Pelancongan, YB Mohd Salleh Saidin; Exco Agama, YB Ustaz Mohd Azam Abg Samad; Exco Belia dan Sukan, YB Radhi Mat Din dan Exco Sumber Manusia, YB Wong Chia Zhen.
Selain itu, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran dua tokoh ilmuan yang dihormati, iaitu Ustaz Yakub Yusra dari MADAD dan Ustaz Firdaus Firabib dari Masjid Al Busyra yang telah menyampaikan tazkirah yang mendalam untuk memperkaya pemahaman hadirin tentang makna sebenar Ramadan.