Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Sejumlah 1,000 bungkusan bubur lambuk berserta risalah keselamatan telah diagihkan bersempena dengan Kempen Keselamatan “Rumah Selamat” semasa Pengagihan Bubur Lambuk peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Bandaraya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, YBrs. Dato’ Dzulkhairi Mukhtar (empat dari kanan) bersama tetamu kenamaan bersama-sama menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada pengguna jalan raya di Dataran Bandaraya MBMB.

 

 

Kempen “Rumah Selamat” anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dengan kerjasama Ames Hotel Melaka turut dihadiri oleh Ketua Polis Melaka, YBrs. DCP Dato’ Dzulkhairi Mukhtar; Datuk Bandar MBMB, YBrs. Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Ames Hotel Melaka, YBrs. Jason R Bak dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Melaka, YBrs. Datin Diana Aini Mokter.

Menurut YBrs. Dato’ Dzulkhairi Mukhtar, selain mendekatkan masyarakat dengan polis, kempen itu, sekali gus mengedarkan risalah keselamatan “Rumah Selamat” serta memberi panduan pendaftaran aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kepada pengguna jalan raya.

Ketua Polis Melaka, YBrs. Dato’ Dzulkhairi Mukhtar mengagihkan bubur lambuk kepada salah seorang penunggang motosikal.

Tambah beliau, pelaksanaan kempen ini adalah inisiatif awal PDRM untuk memberikan peringatan kepada orang ramai untuk memastikan langkah-langkah keselamatan di kediaman masing-masing diambil sempena musim cuti perayaan yang akan diraikan tidak lama lagi.

“Menerusi kempen ini kami juga menggalakkan orang ramai untuk mendaftar aplikasi VSP dan melaporkan kepada pihak polis sekiranya mahu meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti ke kampung halaman,”ujar beliau

Menurut beliau,”Aplikasi ini bukan sahaja mesra pengguna malah memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melaporkan setiap pergerakan mereka dengan hanya menggunakan telefon pintar. Perkhidmatan ini turut disediakan secara percuma”.

YBrs. Dato’ Dzulkhairi menjelaskan seluruh Negeri Melaka memperoleh sejumlah 49,487 pendaftaran VSP direkodkan. Namun begitu, bagi tahun 2025 hanya terdapat 265 orang sahaja yang telah mendaftarkan diri menerusi aplikasi itu.

“PDRM amat menggalakkan penduduk Melaka agar mendaftar diri menerusi VSP ini kerana pada tahun lalu menerusi Kempen Ops Selamat 22, Polis Melaka berjaya merekodkan sebanyak empat kes pecah rumah. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak mahu kejadian yang sama berulang kembali pada tahun ini. Biarpun Melaka sebuah negeri yang aman dan kurang kes jenayah, tetapi kesedaran orang ramai dalam isu ini sangat penting,” ujar beliau.

Ketua Polis Melaka, YBrs. Dato’ Dzulkhairi Mukhtar (lima dari kiri) bersama-sama tetamu kenamaan mengambil gambar kenangan semasa Kempen Keselamatan “Rumah Selamat” dan pengedaran bubur lambuk peringkat PDRM di Dataran Bandaraya MBMB.

Antara tetamu yang turut hadir pada majlis tersebut termasuklah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, YBrs. ACP Aniesa Hanum Ahamad; Setiausaha Bandaraya MBMB, YBrs. Muhammad Firdaus Shariff; ketua jabatan dan ketua polis daerah serta pegawai polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka.

Kredit Foto: Muhammad Zaidee bin Daut
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi