Diterbitkan pada 16 Mac 2025, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Pelancaran Galeri Kemanusiaan Antarabangsa yang diadakan di Baitul Ummah Jalan Sungai Layar, Pinggiran Taman Seri Negeri, Kampung Penghulu Him merupakan inisiatif daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam usaha meningkatkan kefahaman khalayak mengenai kegiatan kesukarelawanan.

Presiden MAPIM, Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, objektif penubuhan galeri berkenaan adalah untuk menjadikannya sebagai pusat pembelajaran kesukarelawanan dan kemanusiaan.

Selain itu, menurut beliau, galeri tersebut bakal memberikan peluang kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memahami pelaksanaan aktiviti kemanusiaan pada peringkat antarabangsa, seterusnya menarik minat mereka untuk menyertainya.

Tambah beliau lagi, pameran galeri tersebut akan memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang peranan sukarelawan yang membantu golongan memerlukan di dalam mahupun di luar negara.

Galeri tersebut menampilkan inisiatif, program dan projek bantuan kemanusiaan yang telah dijalankan oleh MAPIM dan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Dengan pelancaran Galeri Kemanusiaan Antarabangsa, diharapkan galeri itu menjadi pusat inspirasi dan pembelajaran yang menarik kepada penduduk di negara ini amnya,” ujarnya.

Jelas beliau, orang ramai berpeluang melihat pameran pelbagai gambar dan peristiwa lain, termasuklah keadaan yang berlaku di Palestin, Kashmir, Yaman, umat Islam Rohingya di Myanmar dan Uyghur di wilayah Xinjiang, China ketika berada di galeri itu nanti.

Galeri Kemanusiaan Antarabangsa ini dibuka kepada orang ramai dan mengalu-alukan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk individu, NGO, institusi pendidikan dan sektor korporat untuk menyumbang dana bagi menjayakan operasi galeri dan program kesedaran yang lain.

Pada masa yang sama, MAPIM bersama-sama Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Negeri Kedah (SALIMAH) dan MyChild International menzahirkan komitmen mereka untuk menjayakan kerja kebajikan serta memberikan khidmat nasihat mengenai kegiatan kemanusiaan antarabangsa.

Masadah Sajadi (kanan) ketika menyampaikan buku Muslimah Obor Islah Ummah kepada peserta program dalam Majlis Pelancaran Galeri Kemanusiaan Antarabangsa.

Sementara itu, pengunjung turut menerima dua buah buku, iaitu Menguji Kesatuan dan Persaudaraan Ummah karangan Mohd Azmi Abdul Hamid dan Muslimah Obor Islah Ummah karya Masadah Sajadi, Pengerusi Persatuan SALIMAH Kedah bersempena dengan majlis pelancaran galeri itu.

Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid (kanan) ketika menyampaikan buku Menguji Kesatuan dan Persaudaraan Ummah kepada Setiausaha Masjid Haji Zainuddin Tanjung Dawai, Encik Mokhtar Wahid (kiri).
Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi