Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTripoli – Akademi Eksport Malaysia (MEXA) bakal menganjurkan Pameran Pendidikan dan Latihan Universiti Malaysia kedua pada Julai 2025 di Akademi Libya sebagai usaha untuk mempertingkatkan hubungan pendidikan antara Libya dengan Malaysia dan memperdalam pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara.
Penganjuran Pameran Pendidikan dan Latihan Universiti Malaysia ini berikutan sambutan yang diterima semasa pameran yang pertama kali diadakan pada Februari lalu. Pameran ini telah dihoskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Libya, di bawah anjuran Akademi Eksport Malaysia (MEXA).
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MEXA, YBrs. Dr. Abdul Kabur Ibrahim berkata bahawa pameran ini merupakan platform yang menghubungkan pelajar Libya dengan institusi pendidikan tinggi Malaysia.
“MEXA komited menyokong Kerajaan Libya dan institusi pendidikan dalam memastikan pelajar Libya menerima peluang pendidikan yang terbaik. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Libya untuk memastikan kejayaan penempatan kumpulan pertama pelajar,” ujar YBrs. Dr. Abdul Kabur.
Pameran ini diselaraskan dengan kerjasama rapat Pejabat Atase Akademik dari Kedutaan Libya di Kuala Lumpur.
Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Libya telah menganugerahkan sebanyak 2000 biasiswa kepada pelajar Libya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Malaysia dengan 550 biasiswa tersedia bagi tahun 2025. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang memilih untuk belajar di institusi pendidikan yang mengambil bahagian dalam Pameran Pendidikan dan Latihan Universiti Malaysia
Pameran Pendidikan dan Latihan Universiti Malaysia disertai oleh 33 orang perwakilan dari 16 buah institusi pendidikan Malaysia, 12 buah universiti swasta, dua buah universiti awam dan dua buah sekolah bahasa.
Dengan penyertaan sebanyak 1000 hingga 1200 pengunjung sepanjang dua hari, Pameran Pendidikan dan Latihan Universiti Malaysia menyediakan akses kepada wakil institusi pendidikan Malaysia untuk menawarkan program akademik, biasiswa dan faedah belajar di Malaysia kepada pengunjung. Bidang pengajian yang ditawarkan termasuklah kursus kejuruteraan, perniagaan, perubatan dan bahasa.
Penasihat MEXA, YBhg. Datuk Sri Syed Hussein AlHabshee berkata bahawa pameran ini yang memberikan peluang kepada pelajar Libya untuk belajar di Malaysia yang merupakan antara hab pendidikan terkemuka di Asia.
“Kami yakin ini akan mewujudkan manfaat jangka panjang untuk kedua-dua negara, dan menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan Libya,” jelas beliau.
Untuk menangani soal kebimbangan keselamatan dan mengukuhkan hubungan dua hala, Datuk Sri Syed Hussein memberi jaminan bahawa Libya selamat bagi rakyat Malaysia melancong untuk perniagaan, pendidikan dan pelancongan.
Beliau juga menekankan kepentingan dialog berterusan untuk mengukuhkan lagi langkah keselamatan serta memupuk kerjasama akademik dan ekonomi.
“Oleh sebab minat yang kian meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pendidikan pilihan pelajar Libya, memang penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala menerusi pelibatan diplomatik yang dipertingkatkan,” jelas Syed Hussein.
“Satu langkah penting adalah penubuhan Kedutaan Malaysia di Tripoli. Kewujudan diplomatik rasmi di Libya akan memudahkan pemprosesan visa pelajar, menyediakan sokongan penting kepada rakyat Malaysia di negara ini serta membangunkan lagi kerjasama ekonomi dan pendidikan antara kedua-dua negara,” tambah beliau.