Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli telah menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) 2025 anjuran PKNP yang diadakan di perkarangan Kompleks Teruntum, Kuantan, semalam.
Lebih kurang 3,000 orang tetamu yang terdiri daripada warga pekerja PKNP, warga pekerja di Kompleks Teruntum, para pelabur, pihak berkepentingan PKNP dan masyarakat awam turut menghadiri bagi memeriahkan majlis tersebut.
KDPB Sultan Pahang meluahkan rasa syukur atas jemputan semasa beramah mesra bersama-sama rakyat. Baginda juga turut mengimbau kenangan di Kompleks Teruntum yang kini telah mencapai usia 60 tahun. “Beta berasa bangga dapat bertemu ramai mantan PKNP (Pengerusi PKNP) dan dimaklumkan bahawa PKNP telah ditubuhkan sejak tahun 1965, sudah 60 tahun pada tahun ini.” titah KDPB Sultan Pahang lagi.
Dalam majlis tersebut, para tetamu telah dihidangkan dengan pelbagai juadah raya seperti nasi minyak, mi rebus, lemang, ketupat, apam balik, keropok lekor, kopi Saigon dan sate. Majlis ini turut diserikan dengan persembahan kumpulan muzik dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dan persembahan tarian tradisional dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang sepanjang majlis berlangsung.

Pada masa yang sama, Baginda turut berkenan mengurniakan duit raya kepada kira-kira 40 orang anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Tanjung Lumpur, Kuantan semasa majlis berkenaan berlangsung.
KDPB Sultan Pahang turut berkenan menziarahi gerai-gerai makanan raya yang ada dan beramah mesra bersama-sama warga kerja PKNP dan rakyat Pahang yang hadir dalam majlis tersebut.

Turut mengiringi Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia (YAM) Kerabat-kerabat Bergelar.
Turut hadir, Yang Amat Berhormat (YAB.) Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi PKNP, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail; Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pahang; Yang Berbahagia (YB.) Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP dan tetamu-tetamu jemputan.