Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah diumumkan baru-baru ini. Peperiksaan ini merupakan peperiksaan besar di negara kita dan sering dikatakan menjadi penentu hala tuju masa hadapan seseorang. Pada masa ini, kebanyakan pelajar lepasan SPM 2024 akan berkira-kira untuk memilih tempat yang bersesuaian untuk melanjutkan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.

Antara pilihan pelajar termasuklah memilih untuk melanjutkan pengajian pada tahap matrikulasi atau diploma di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) idaman masing-masing. Kehidupan bergelar mahasiswa yang mempunyai kebebasan dalam pelbagai aspek mendorong mereka berlumba-lumba untuk merebut tempat di sana. Hal ini menunjukkan bahawa melanjutkan pengajian ke tingkatan enam sering kali menjadi pilihan terakhir pelajar, walhal tingkatan enam yang menawarkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Tingkatan enam merupakan satu daripada laluan pendidikan prauniversiti yang ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM di negara kita. Pelajar yang memilih untuk menyambung pengajian ke tingkatan enam akan menjalani peperiksaan STPM yang diiktiraf sebagai setaraf dengan A-Level. STPM mula diperkenalkan pada tahun 1982 bagi menggantikan Higher School Certificate (HSC) yang dikelolakan oleh Cambridge Assessment, England. Peperiksaan ini telah mengalami beberapa perubahan termasuklah pengenalan sistem pentaksiran baharu yang bermula pada tahun 2012. Melalui perubahan ini, pelajar tingkatan enam tidak lagi hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata tetapi penilaian turut berasaskan kepada kerja kursus. Pelajar tingkatan enam juga perlu melalui tiga semester pengajian dan setiap semester akan diakhiri dengan peperiksaan.

Setakat ini, terdapat sekitar 643 buah pusat pembelajaran tingkatan enam dalam pelbagai mod pembelajaran di seluruh negara. Pusat pembelajaran pelajar tingkatan enam yang dikenali sebagai Kolej Tingkatan Enam (KTE) dikategorikan berasaskan mod satu, dua atau tiga berdasarkan lokasi sekolah, sumber manusia, iaitu guru dan jumlah pelajar. Pelajar yang mengambil tingkatan enam wajib mengambil mata pelajaran Pengajian Am.

Walau bagaimanapun, mereka boleh memilih aliran berdasarkan keputusan SPM dan minat masing-masing. Terdapat tiga aliran yang boleh dipilih oleh mereka, iaitu aliran sains yang menawarkan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik; aliran kemanusiaan atau sastera yang menawarkan mata pelajaran Sejarah, Geografi, Ekonomi, Bahasa Melayu dan Pengajian Perniagaan serta aliran agama yang menawarkan mata pelajaran seperti Pengajian Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab.

Pada tahun lepas, timbul ura-ura yang mencadangkan agar tingkatan enam dan STPM dimansuhkan. Bahkan, cadangan tersebut juga telah diusulkan oleh Datuk Dominic Lau Hoe Chai pada sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara tahun lepas. Beliau mencadangkan agar kerajaan memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program matrikulasi.

Namun begitu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek memutuskan bahawa tiada keperluan memansuhkannya kerana tingkatan enam mencakupi peperiksaan STPM yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bahkan, peperiksaan tersebut juga selaras dengan Akta Pendidikan 1996. Beliau turut menyatakan pendidikan tingkatan enam mempunyai sasaran dan matlamatnya yang tersendiri berbanding dengan program matrikulasi dan ijazah sarjana muda.

Kelebihan Tingkatan Enam dan STPM

Walaupun tingkatan enam sering kali menjadi pilihan terakhir pelajar untuk melanjutkan pengajian berbanding dengan diploma dan matrikulasi, namun tingkatan enam juga mempunyai pelbagai kelebihan kepada pelajarnya. Antara kelebihan tersebut termasuklah peperiksaan STPM yang diiktiraf bukan sahaja oleh universiti di dalam negara malah universiti di luar negara juga. Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, lebih 2,000 buah universiti di seluruh dunia mengiktiraf sijil STPM termasuklah di United Kingdom, New Zealand, Australia dan lain-lain.

Tempoh pengajian tingkatan enam yang mengambil masa sekitar satu setengah tahun atau pun tiga semester, lebih pendek berbanding dengan kebanyakan pengajian diploma yang memakan masa selama tiga tahun atau pun enam semester. Tingkatan enam merupakan jalan pintas untuk menyambung ijazah ke peringkat ijazah sarjana muda seperti asasi dan matrikulasi. Walau bagaimanapun, sijil tingkatan enam, iaitu STPM lebih diiktiraf berbanding dengan asasi dan matrikulasi.

Kos pengajian tingkatan enam lebih murah berbanding dengan pengajian lain seperti matrikulasi dan diploma yang ditawarkan kepada lepasan SPM. Yuran pengajian di sekolah kerajaan boleh dikatakan hampir percuma dan pelajar tidak perlu bersusah payah membuat pinjaman pelajaran sebagaimana jika mereka menyambung pengajian di IPT. Oleh itu, bagi pelajar yang kurang berkemampuan, tingkatan enam merupakan pilihan terbaik untuk menyambung pengajian selepas SPM.

Di samping itu, sistem semester yang digunakan dalam tingkatan enam bermula pada tahun 2012 dapat mengurangkan tekanan para pelajar. Sistem tersebut juga adalah lebih kurang sama sebagaimana pilihan pengajian lepasan SPM yang lain. Sistem ini juga lebih fleksibel kepada pelajar dan mereka tidak hanya tertumpu dan fokus kepada peperiksaan besar STPM sebagai penilaian tunggal seperti sebelum ini.

Kini, pelajar tingkatan enam di negara kita juga tidak perlu memakai pakaian seragam sekolah sejak tahun 2015. Pembaharuan tersebut membolehkan para pelajar tingkatan enam mempunyai lebih kebebasan dalam hal berpakaian berbanding dengan pelajar lain. Jika dahulu, rata-rata pelajar tidak mahu menyambung pengajian ke tingkatan enam kerana masih perlu memakai pakaian seragam sekolah tetapi kini mereka diberikan kebebasan sebagaimana pelajar di matrikulasi dan IPT.

Mulai tahun ini juga, para pelajar tingkatan enam turut layak menerima Bantuan Awal Pendidikan (BAP) sebagaimana yang diterima oleh murid tahun satu hingga tingkatan lima sebelum ini. Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa BAP bagi pelajar tingkatan enam disalurkan mulai Februari lalu dan dianggarkan  sebanyak 100,000 orang pelajar tingkatan enam akan menerimanya.

Tuntasnya, pelajar lepasan SPM sewajarnya menjadikan tingkatan enam sebagai antara pilihan utama untuk menyambung pengajian. Tingkatan enam menawarkan pelbagai kelebihan dengan kos pengajian yang paling minimum kepada para pelajar. Pembaharuan dalam sistem pembelajaran tingkatan enam dari tahun ke tahun seperti pengajian berdasarkan semester yang lebih fleksibel dan kebebasan dalam etika berpakaian mampu membuka mata tentang kelebihan besar yang tersembunyi jika memilihnya sebagai laluan pengajian selepas SPM. Bukan itu sahaja, banyak graduan berjaya pada masa ini juga lahir daripada lulusan tingkatan enam yang mengambil peperiksaan STPM. Buat para pelajar lepasan SPM, “tepuk dada tanya selera”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi