Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – IJM Land telah meraikan ulang tahun ke-15 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) teras syarikat, iaitu Program MyHome, dengan penyiapan dan penyerahan dua buah rumah yang telah dibaik pulih, masing-masing di Seremban, Negeri Sembilan dan di Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

Dilancarkan pada tahun 2010, matlamat utama Program MyHome adalah untuk meningkatkan kualiti hidup isi rumah yang terpinggir, dan kurang kemampuan di seluruh negara.
Dengan memberikan penekanan kepada penyediaan tempat tinggal yang kondusif, program ini telah memberikan impak positif kepada 23 buah isi rumah di sepanjang tempoh 15 tahun pelaksanaannya.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun, IJM Land Berhad (IJM Land) dikenali menerusi pembangunan hartanah yang memenangi pelbagai anugerah di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa.
Portfolio IJM Land merangkumi projek kediaman, komersial dan pelaburan yang bersepadu, termasuk pembangunan mercu tanda seperti Royal Mint Gardens di London.
Melalui pendekatan yang mementingkan kelestarian, inovasi dan kecemerlangan reka bentuk, IJM Land terus menjadi penanda aras dalam industri hartanah, sambil membawa impak positif kepada masyarakat dan ekonomi setempat.
Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan sosial IJM Land, malah turut menzahirkan komitmen berterusan syarikat dalam menyumbang kepada komuniti menerusi infrastruktur kediaman yang berkualiti tinggi.
MyHome merupakan inisiatif utama di bawah program IJM Cares, yang memperkukuh komitmen IJM Land terhadap tanggungjawab sosial (CSR).
Menurut Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Chai Kian Soon, MyHome bukan sekadar program CSR malah turut merupakan usaha pihak beliau memberi semula kepada masyarakat yang telah menyokong kejayaannya.
“Pihak IJM Land percaya bahawa perubahan sebenar bermula dengan memahami keperluan asas keluarga, iaitu dengan menyediakan rumah yang selamat dan terjamin. Sejak 15 tahun lalu, pihak IJM Land telah membantu lebih 20 keluarga membina semula kehidupan mereka. Dengan kerjasama rakan strategik, IJM Land akan terus memperluaskan jaringan kami dalam komuniti setempat,” ujar Datuk Chai Kian Soon.
Bermula di Seremban 2, program ini telah dijalankan di seluruh kawasan operasi IJM Land termasuk di Pulau Pinang, Lembah Klang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Dengan pelibatan subkontraktor, pembekal dan rakan tempatan, IJM Land memperkukuh jaringan kerjasama demi menyediakan kediaman yang eksklusif dan kondusif.
Datuk Chai Kian Soon turut menyampaikan hasrat bahawa impian beliau adalah untuk memastikan rakyat Malaysia dapat memiliki rumah bukan sahaja selamat, tetapi pada masa yang sama rakyat dapat hidup dengan selesa.

Pada 31 Mac 2025, IJM Land terus memperluas pelaksanaan Program MyHome dengan mengambil langkah proaktif membina semula kediaman milik seorang penduduk, iaitu Encik Chan Ngan Chong, 61 tahun, di Kampung Baru, Batu 8, Labu, Seremban.
Usaha ini bukan sahaja menzahirkan komitmen syarikat dalam memperkasakan komuniti terpinggir, malah turut memberikan impak positif yang dicapai menerusi pendekatan holistik program berkenaan.
Kediaman asal keluarga empat beranak itu berada dalam keadaan uzur, dan tidak selamat didiami lagi. Rumah yang hanya mempunyai sebuah bilik tidur kecil, mengalami kerosakan struktur yang serius, dapur yang tidak lagi berfungsi, kerosakan kesan serangan anai-anai, serta risiko ancaman keselamatan kepada mereka. Pemeriksaan teknikal yang dijalankan mengesahkan bahawa rumah tersebut berisiko tinggi untuk runtuh dalam tempoh setahun jika tidak dibaik pulih dengan segera.
Kesukaran hidup Encik Chan Ngan Chong lebih parah apabila keadaan kesihatannya yang semakin teruk. Selepas diserang strok pada tahun 2022, beliau tidak lagi mampu bekerja dan kini hanya bergantung pada isterinya, Puan Puniamah, 60 tahun, yang bekerja mencuci pinggan, namun terpaksa berhenti kerja demi menjaga Encik Chan sepenuh masa.
Dalam situasi kewangan yang tenat, keluarga Chan turut dibebani tunggakan bil elektrik yang mencecah lebih RM4,000. Namun begitu, masalah ini turut diselesaikan oleh IJM Land sebagai sebahagian daripada sokongan menyeluruh Program MyHome.
Disebabkan oleh situasi yang mendesak, IJM Land telah melaksanakan pembinaan semula kediaman secara menyeluruh.

Rumah baharu yang diserahkan itu merangkumi tiga buah bilik tidur berbanding dengan dua dalam reka bentuk asal bagi memenuhi keperluan ruang keluarga yang membesar; satu unit tandas bersama-sama bilik mandi yang lengkap dan selesa; dapur berfungsi sepenuhnya; ruang tamu dan ruang makan yang diperluas bagi menyediakan persekitaran hidup yang lebih harmoni; landskap persekitaran serta elemen keselamatan ditambah baik yang dapat menjadikan kediaman lebih kondusif, selamat dan mesra warga emas.
Dalam usaha memastikan kediaman tersebut lengkap untuk didiami, IJM Land turut menyediakan perabot asas, serta kelengkapan elektrik penting, termasuk kipas, lampu dan perkakas dapur. Kelengkapan asas tersebut turut membantu keluarga ini memulakan fasa kehidupan baharu dalam suasana yang lebih kondusif, dan selesa.
Di Sandakan pula, rumah satu tingkat kepunyaan Encik Wong See Kong, 82 tahun yang didiami bersama-sama seorang anak perempuannya sebelum ini mengalami kerosakan serius termasuk bumbung bocor, dapur yang tidak stabil, siling berkulat, pendawaian elektrik yang terdedah dan tiada akses kepada air bersih.
Dengan hanya pendapatan bulanan sekitar RM1,500 hasil kerja anaknya di sebuah kedai runcit, keluarga Encik Wong tiada peruntukan untuk membaiki kediaman mereka.
Walau bagaimanapun, melalui Program MyHome, rumah Encik Wong telah diperbaharui secara menyeluruh merangkumi usaha membaik pulih dan membina semula dapur dengan bahan yang selamat; menggantikan siling berkulat dan mengecat semula keseluruhan rumah; memasang sistem bekalan air bersih dan dapur gas baharu; menaik taraf pendawaian elektrik; meletakkan lantai simen dan membersihkan ruang dalaman dan memasang pagar dan pintu pagar baharu bagi tujuan keselamatan
Kini, rumah tersebut menjadi tempat tinggal yang bersih, selesa dan selamat bagi keluarga Wong.