Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Bagi mengawal kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat, SWM Environment selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam telah mengambil inisiatif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan warga kerja dengan mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya Jom Tunggang Selamat Peringkat SWM Environment Melaka diadakan di Dewan Seri Chendana, Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh, semalam.

Kes kemalangan jalan raya dikenal pasti sebagai penyumbang utama dalam statistik kemalangan di SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) yang merangkumi 41 peratus sepanjang 2024 berbanding dengan jenis kemalangan lain.
Menurut kenyataan SWM Environment, golongan pekerja perlu diberikan ilmu dan pendedahan dalam aspek keselamatan jalan raya bagi memberikan kesedaran kepada golongan ini agar lebih berhati-hati di jalan raya.
SWM Environment turut menyatakan kadar kemalangan jalan raya di negara ini khususnya yang melibatkan penunggang motosikal masih berada pada tahap yang membimbangkan, pihak SWM Environment mengambil inisiatif penganjuran kempen keselamatan jalan raya membabitkan warga kerja.

Kempen-kempen keselamatan seperti ini penting dalam memberikan ilmu dan kesedaran kepada warga kerja di pelbagai peringkat supaya lebih peka dan berhati-hati ketika berada di jalan raya sama ada semasa bertugas mahupun semasa pergi dan pulang dari tempat kerja.
Menurut Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Yang Berusaha (YBrs.) Nor Zaki Md Nor, penganjuran kempen keselamatan seumpama ini juga bertujuan untuk mendidik para pekerja SWM Environment mengenai amalan menunggang dengan selamat, serta inisiatif syarikat dalam usaha mengawal jumlah kemalangan jalan raya daripada meningkat pada setiap tahun.


Semasa pelancaran kempen berkenaan turut diadakan ceramah Keselamatan Jalan Raya Penunggang Motosikal yang telah disampaikan oleh wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, sesi pemakaian pakaian pemantul cahaya dan pelepasan konvoi motosikal sebagai simbolik perasmian.

Turut hadir dalam kempen tersebut termasuklah Pegawai Eksekutif Kanan PERKESO Negeri Melaka, YBrs. Ridwan Mohd dan Pengurus Kawasan Perkhidmatan SWM Environment Melaka, YBrs. Norariffin Nordin yang turut hadir memeriahkan kempen tersebut.