Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Program “Komuniti Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR): Perpustakaan Dihatiku, Buku Sahabatku” di Perpustakaan Desa Bertam Hulu telah dirasmikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Yang Berhormat (YB) Datuk Rais Yasin di kawasan Bertam Hulu, semalam.

Masyarakat di kawasan Bertam Hulu dan sekitar kini dapat menggunakan kemudahan Perpustakaan Desa Bertam Hulu dengan lebih kondusif apabila perpustakaan desa itu kini berwajah baharu selepas telah dinaik taraf.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Yang Berusaha (YBrs.) Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, menerusi peruntukan berjumlah sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri pada tahun lalu, perpustakaan desa itu bukan sahaja menjadi lebih kondusif malah mesra pengguna dan inklusif untuk segenap lapisan masyarakat.

Menurut YBrs. Encik Mohamed Aizammuddy, perpustakaaan itu menyediakan lebih 17,000 naskhah bahan bacaan fizikal yang merangkumi pelbagai genre untuk semua peringkat umur termasuk buku kanak-kanak hingga bahan rujukan untuk dewasa dan umum.
“Selain bahan bercetak, pengguna yang menggunakan perpustakaan di sini turut diberi akses kepada bahan bacaan digital melalui platform e-book dan sumber dalam talian yang disediakan oleh PERPUSTAM”, tambah beliau lagi.
Justeru, besarlah harapan beliau agar perpustakaan desa ini dapat dimanfaatkan dan menjadi tempat untuk mencari ketenangan dalam pembacaan, tempat berkongsi ilmu dan inspirasi serta tempat menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat keseluruhannnya.

Menurut YBrs. Encik Mohamed Aizammuddy, pelbagai aktiviti menarik melibatkan penyertaan murid-murid dari dua buah sekolah rendah dan dua tadika KEMAS di kawasan Bertam Hulu sempena WRUR Sungai Udang.
Beliau juga berkata bahawa antara program yang diadakan adalah Bengkel Literasi Maklumat, iaitu memperkenalkan medium bacaan digital dan platform pembelajaran dalam talian; zon interaktif dengan memperkenalkan teknologi Realiti Maya (VR) dan asas robotik.

Turut diadakan pertandingan dam gergasi, pertandingan mewarna kanak-kanak, teka berat buku, teka muka surat buku, kuiz kenali perpustakaan serta pameran dan pemeriksaan kesihatan.