Diterbitkan pada 18 Jun 2025, 20:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era keterkaitan digital yang melampau, timbul satu kekeliruan kritikal yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat. Segala tanggapan bahawa bentuk penyampaian maklumat dalam media sosial merupakan sebahagian daripada kewartawanan. Lebih membimbangkan, sebahagian besar khalayak pada hari ini cenderung menyamakan pencipta kandungan dan pempengaruh digital (influencer) popular di TikTok, Instagram dan X  atau dahulu dipanggil sebagai Twitter sebagai seorang “wartawan” semata-mata kerana mereka berkongsi maklumat semasa atau menyuarakan pendapat tentang isu masyarakat.

Realitinya, media sosial bukan bilik berita dan pencipta kandungan bukan seorang wartawan, melainkan mereka mematuhi prinsip dan etika profesion kewartawanan. Kegagalan membezakan perkara ini telah membawa kepada penghakisan nilai berita, kemerosotan kualiti wacana awam serta mengelirukan khalayak terhadap perkara yang benar dan yang bersifat manipulatif.

Asas utama kepada perbezaan antara media sosial dan kewartawanan termasuklah matlamat dan mekanisme yang mendasari kedua-duanya. Platform seperti TikTok, Facebook dan X dibangunkan untuk mengutamakan keterlibatan (engagement). Mereka menyampaikan kandungan yang cepat, sensasi, emosional dan sering kali bersifat provokatif. Kandungan yang mendapat reaksi terbanyak akan diangkat, tanpa mengira ketepatannya.

Sebaliknya, kewartawanan sebagai amalan profesional memerlukan wartawan untuk menyemak fakta, mengesahkan sumber, membina naratif berasaskan bukti dan meletakkan kepentingan awam atas kepentingan peribadi atau populariti. Wartawan tidak hanya menulis peristiwa yang berlaku, malah turut menjelaskan konteks, menilai implikasi dan bertanggungjawab terhadap kesan maklumat yang mereka sebarkan.

Menurut kajian Reuters Institute for the Study of Journalism, peningkatan penggunaan media sosial sebagai sumber utama berita dalam kalangan generasi muda menyumbang kepada penurunan kepercayaan terhadap media arus perdana, kerana ramai yang tidak dapat membezakan antara laporan profesional dengan kandungan buatan pengguna yang tidak disunting. Hal ini mencerminkan tentang aspek algoritma yang telah mula menggantikan peranan editor dalam menentukan apa-apa yang dianggap “berita”.

Pada hari ini, ribuan pempengaruh digital, YouTuber dan TikToker menghasilkan kandungan tentang isu semasa, politik, dasar kerajaan dan hal ehwal antarabangsa. Walaupun banyak kandungan ini bernilai dari segi kesedaran sosial, pelayar media sosial tidak boleh secara automatik menganggap mereka sebagai seorang wartawan. Menyampaikan maklumat tidak bermakna mereka menjalankan kewartawanan. Wartawan bekerja dalam struktur organisasi editorial yang terikat dengan kod etika dan tertakluk pada semakan rakan setara.

Pencipta kandungan bebas sebaliknya tidak mempunyai proses semakan yang sistematik. Mereka bebas menerbitkan naratif yang menyokong pendirian politik atau komersial tertentu, sering kali menyatakan tanpa sumber atau mengesahkan fakta dengan menjadikan mereka lebih dekat kepada pendakwah atau penceramah digital berbanding dengan pelapor berita.

Perbezaan ini penting. Tidak semua orang yang memberikan nasihat kesihatan dalam media sosial merupakan seorang doktor, dan tidak semua yang menyentuh isu semasa adalah seorang wartawan. Perkara ini tidak boleh mengangkat pempengaruh digital ini ke tahap yang sama dengan wartawan kerana perbezaan dari segi latihan, tanggungjawab dan piawaian profesional mereka terlalu besar.

Wartawan profesional bukan sekadar menyampaikan berita, mereka juga perlu memeriksa kuasa dalam sebuah demokrasi. Peranan wartawan termasuklah berperanan dalam menyoal dasar, mencabar keputusan kerajaan, membongkar salah guna kuasa dan mengangkat suara kepada golongan yang terpinggir. Hal ini merupakan peranan sivik, bukannya bersifat komersial.

Kewartawanan yang baik juga tidak semestinya menyenangkan semua pihak. Kadangkala, wartawan harus menyampaikan kebenaran yang pahit, menyiarkan cerita yang tidak popular atau menentang arus. Perbezaan antara wartawan dan pencipta kandungan yang pertama ialah berpegang kepada prinsip, kedua berpegang kepada keterlibatan (engagement).

Kita harus menegaskan bahawa kewartawanan merupakan satu profesion, bukan hobi dan wartawan ialah penjaga kepada proses demokrasi. Menyamaratakan mereka dengan sesiapa sahaja yang mempunyai kamera dan akaun media sosial merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap nilai berita.

Cabaran terhadap kewartawanan profesional bertambah rumit dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI). Kini, AI boleh meniru gaya penulisan wartawan, mencipta berita palsu yang kelihatan sahih, malah turut boleh menghasilkan video deepfake yang menyukarkan khalayak membezakan antara realiti dengan rekaan.

Dalam keadaan ini, peranan wartawan profesional menjadi lebih penting daripada sebelumnya. Mereka harus menjadi pelapis terakhir dalam memastikan fakta, membina naratif berdasarkan data sebenar dan mengekalkan integriti maklumat. Tanpa garis pemisah yang jelas antara kewartawanan dan kandungan digital biasa, masyarakat akan tenggelam dalam lautan maklumat yang tidak menentu dan berpotensi membahayakan.

Untuk memulihkan martabat kewartawanan, kita harus kembali kepada asas sebelum itu. Masyarakat perlu dididik semula untuk mengenali “Apakah berita?”,  “Siapakah wartawan?” dan “Mengapakah proses editorial itu penting?” Literasi media bukan sekadar tentang tahu menggunakan platform, malah perlu tahu menilai kredibiliti dan memahami kerangka etika di sebalik setiap pelaporan.

Kita tidak memerlukan lebih banyak kandungan sebaliknya kita memerlukan lebih banyak amalan kewartawanan yang profesional. Kita memerlukan wartawan yang berani, berprinsip dan berwibawa untuk menjadi benteng terhadap manipulator maklumat. Dalam dunia yang dikuasai keterujaan dan kelajuan, kewartawanan perlu kekal sebagai simbol ketelitian, tanggungjawab dan kebenaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi