Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 22 Jun 2025, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia Amateur Radio Transmitter’s Society (MARTS) melancarkan Pelan Strategik MARTS (PSM) 2026 – 2030 yang memfokuskan penggunaan teknologi radio dua hala terkini sesuai dengan perkembangan dunia digital, baru-baru ini.

Pelan strategik tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Presiden MARTS, Zanirul Akhmal  Zanirun dihadapan 80 orang ahli semasa persidangan tahunan MARTS kali ke-73 di Planetarium Negara.

Perancangan MARTS dalam tempoh lima tahun mendatang juga ingin memantapkan penggunaan radio amatur di Malaysia.

Timbalan Presiden MARTS, Zanirul Akhmal Zanirun menyampaikan ucapan dan melancarkan Pelan Strategik kepada ahli MARTS.

Zanirul berkata; “Pelan strategik digubal untuk memastikan hala tuju MARTS sebagai organisasi radio amatur  negara ini terus kekal  relevan di bawah Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU).”

Selain itu, beliau juga menjelaskan untuk mencapai objektif pelan strategik yang dirangka, MARTS yang tertubuh sejak tahun 1952 akan menumpukan kepada lima teras utama, iaitu terus memantapkan inovasi dan teknologi  digital, memperkasa komunikasi kecemasan dan bencana serta memperluas capaian media dan kesedaran komuniti.

Di samping itu, MARTS juga memperkukuh keahlian dan pelibatan komuniti, memperkasa advokasi serta menambah baik regulatori  dan perlesenan.

Sementara itu, Naib Presiden IARU Wilayah 3, Tuan Haji Mohd Aris Bernawi turut menjelaskan bahawa MARTS akan terus menyertai pelbagai aktiviti radio amatur di peringkat antarabangsa.

“Pada tahun 2026, MARTS akan menghantar empat orang anak muda untuk menyertai Youth On The Air (YOTA) yang dijadual berlangsung di Korea.”

Untuk rekod, YOTA  merujuk kepada gerakan dan program peringkat global yang tertumpu kepada pelibatan golongan muda dalam radio amatur.

YOTA  merangkumi pelbagai inisiatif termasuk Bulan YOTA, kem YOTA dan aktiviti lain yang direka untuk memperkenal, menyokong dan menghubungkan peminat radio generasi muda dari pelbagai negara di dunia.

Beliau juga menambah, MARTS dan Malaysian Amateur Radio Emergency Service (MARES) yang bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) telah berjaya menggubal modul latihan untuk peperiksaan radio amatur kelas A, B dan C.

Modul ini akan digunakan oleh MARTS untuk mengendalikan kursus dan latihan pra peperiksaan kepada sesiapa jua yang berminat untuk menjadi pengendali radio amatur.

“Usaha sedang  dilakukan agar modul latihan tersebut mendapat pengiktirafan The Malaysian Qualifications Agency (MOQ) bagi memantapkan latihan dan penganugerahan sijil”

“Selain itu, MARTS telah menjadi ahli Malaysia Technical Standard (MTSB) dalam usaha menetapkan standard peralatan radio amatur sebelum dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” jelas Tuan Haji Aris.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi