Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Majlis Sambutan Ulang Tahun Petaling Jaya ke-19 yang diadakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dihadiri lebih 5,000 orang pengunjung pelbagai kaum telah berlangsung di Laman MBPJ baru-baru ini.

Perarakan semasa Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Petaling Jaya ke-19 di Laman MBPJ dimulakan oleh anggota penguatkuasa MBPJ.
Ucapan Perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun Petaling Jaya ke-19 oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Kerajaan Negeri Selangor, YB Puan Jamaliah Jamaluddin di Laman MBPJ.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Kerajaan Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Puan Jamaliah Jamaluddin.

Salma Asis ketika mendendangkan lagu We Are All Petaling Jaya semasa Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Petaling Jaya ke-19 di Laman MBPJ pada 21 Jun 2025.

Majlis berkenaan turut diwarnai pertandingan perarakan, persembahan kebudayaan, nyanyian penyanyi popular tanah air seperti Wani Hasrita dan Salma Asis serta pertunjukan bunga api.

Seorang daripada peserta Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Peringkat Sekolah Rendah di Selangor 2025 Tahap 1 dan 2 sedang mempamerkan bakatnya.

Bertemakan “PJ Bandar Paling Bahagia dan Mampan”, jurucakap MBPJ memberitahu bahawa pihaknya telah menganjurkan sebanyak 31 buah program kebajikan dan sukan sepanjang bulan Jun bagi merapatkan hubungan antara komuniti dengan pihak berkuasa tempatan itu.

Antaranya termasuklah program Pengukuhan Governance Integriti dan Antirasuah pada 12 Jun di Dewan Banquet, Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza pada 14 sehingga 22 Jun di PJ Eco Recycling Plaza, Sambutan Hari Denggi ASEAN 2025 pada 15 Jun di Dewan Komuniti Damansara Damai, Jom Jelajah Bahagianya @ PJ 2025 pada 22 Jun di Laman MBPJ dan Forum Pengangkutan Lestari dan Pelancaran Pelan Induk Pengangkutan PJ [PIP 2.] pada 23 Jun di Hotel Sheraton Petaling Jaya.

MBPJ turut bertekad membina bandar raya yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan bersama-sama warga kota Petaling Jaya.

Sebuah daripada reruai yang turut menyertai “Rasa Fusion Food Festival” pada 19, 20 dan 21 Jun 2025 di Parkir Dewan Sivik MBPJ.

Tambah MBPJ, pihaknya turut menyediakan inisiatif perkhidmatan percuma seperti tempat letak kereta di seluruh kawasan pentadbirannya.

Selain itu, kemudahan awam seperti kolam renang, gelanggang dan padang sukan juga dibuka secara percuma bermula pada 20 Jun lalu sebagai penghargaan sokongan masyarakat Petaling Jaya.

Menurut MBPJ, bagi menyemarakkan budaya ilmu dan memartabatkan amalan membaca, pihaknya turut menawarkan keahlian percuma di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya.

Ucapan Alu-aluan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Hj. Mohamad Zahri Hj. Samingon.

Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Mohamad Zahri Samingon berkata MBPJ komited melaksanakan dasar dan polisi yang digubal oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurus bandar raya dengan efektif serta responsif.

“Setiap program yang dirangka menyemarakkan semangat komuniti untuk menjadikan Petaling Jaya bukan sahaja maju, malah membahagiakan untuk didiami,” ujar beliau.

Man Raja Lawak (kiri) dan Ali Puteh (kanan) turut menghiburkan pengunjung dengan telatah mereka sebagai pengacara majlis persembahan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah; ADUN Bukit Lanjan, YB Puan Pua Pei Ling; Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, YBrs. Encik Aznan Haji Hassan; Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, YBrs. Tuan Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail dan Pegawai Daerah Petaling, YBrs. Tuan Huzunul Khaidil Mohammed.

 

 

Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi