Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kluster Komunikasi Strategik, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di bawah Kementerian Komunikasi telah menganjurkan kursus Penulisan Media dalam Perhubungan Awam dan Korporat di Sektor Awam yang berlangsung secara bersemuka di Bilik Kuliah B, Bangunan Teknologi, Jalan Pantai Baharu, baru-baru ini.

Kursus intensif dua hari ini memberikan tumpuan kepada pembinaan kecekapan penjawat awam dalam menghasilkan kandungan media yang sesuai dengan fungsi sektor awam, merangkumi penulisan siaran akhbar, teks ucapan rasmi, kandungan media sosial dan penulisan korporat.
Penganjuran kursus ini turut menekankan aspek etika dan kebertanggungjawaban dalam penyampaian maklumat agar mesej yang disampaikan tidak hanya menarik dan mudah difahami, malah turut bebas daripada unsur yang boleh mengelirukan masyarakat.
Penyelaras program, Puan Nurul Najwa Mohd. Amin menjelaskan bahawa dalam era digital yang semakin mencabar, penjawat awam tidak boleh lagi hanya bergantung pada komunikasi dalaman atau laporan rasmi semata-mata.
“Mereka perlu mampu menyesuaikan diri dengan kehendak khalayak yang kini lebih tangkas, celik media dan sensitif terhadap cara sesuatu isu dipaparkan”, tambah beliau.
Menurut beliau, latihan seperti ini penting bagi melatih pegawai kerajaan agar menjadi komunikator bukan sahaja cekap dari segi teknikal malah turut bijaksana dari sudut strategi dan sensitiviti awam.
Kursus ini menghimpunkan peserta yang terdiri daripada pegawai perhubungan awam dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan pelbagai gred dan pangkat yang terlibat secara langsung dalam penulisan media dan komunikasi organisasi.

Peserta dibimbing secara langsung oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam dunia kewartawanan dan komunikasi strategik, Encik Faizal Zakaria. Modul yang diketengahkan memberikan fokus kepada penguasaan asas penulisan media, teknik menjana sudut cerita yang menarik, serta memahami dasar dan etika dalam penyampaian maklumat rasmi kepada masyarakat.
Setiap sesi bukan sahaja menyampaikan ilmu teori, malah turut memperuntukkan masa untuk latihan praktikal dan pembentangan dan para peserta diberi tugasan untuk menghasilkan draf siaran akhbar dan kandungan media sosial yang kemudiannya dibentangkan untuk mendapatkan maklum balas segera daripada fasilitator.
Pendekatan ini menjadikan sesi latihan lebih interaktif dan memberikan kesan pembelajaran yang lebih mendalam.
