Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 2 Julai 2025, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jenjarom – Sebanyak 30 unit penapis air buatan sendiri dihasilkan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra dalam program Saputera Citra Cendekia (SCC) dengan bimbingan tenaga akademik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini.

Penapis air yang dihasilkan hanya menggunakan barang terpakai termasuklah botol air plastik, pasir, batu kerikil dan arang.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPNM, Ts. Dr. Noor Aina Misnon merupakan pembimbing program Saputera Citra Cendekia.

Program SCC dianjurkan bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat.  Selain itu, turut diadakan pameran peralatan dan teknologi yang boleh memupuk minat pelajar terhadap bidang tersebut.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPNM, YBrs. Ts. Dr. Noor Aina Misnon menyatakan bahawa pihaknya bersedia memberikan bimbingan kepada warga sekolah yang berminat untuk menyertai pameran interaktif dalam bidang STEM.

“Program STEM seperti ini adalah yang kelima dilaksanakan di beberapa buah sekolah sejak tahun lalu dan saya melihat kecenderungan pelajar meningkat menerusi pameran interaktif yang disertai,” ujar beliau.

Sementara itu, lima imej Slow Scan Television (SSTV) berjaya dipancarkan menerusi frekuensi dan peralatan radio dua hala tanpa ketersambungan talian telefon dengan kerjasama petugas Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS).

Pengunjung menyaksikan pameran benih padi di reruai UPM.

Imej SSTV yang dipancarkan dari sesebuah lokasi boleh diterima pada jarak jauh bergantung pada kualiti radas atau peralatan yang digunakan. Menerusi komunikasi radio dua hala, satu daripada imej SSTV yang dipancarkan dari SMK Saujana Putera telah diterima oleh beberapa stesen radio amatur di Shah Alam, Kajang dan Putrajaya pada jarak udara hingga lebih 20 kilometer.

“Program ini memberikan pengetahuan kepada murid tentang kaedah alternatif untuk menghantar maklumat pada masa kecemasan sekiranya talian telefon terputus terutamanya dalam tempoh yang lama,” kata seorang petugas MARTS.

Reruai MARTS mempamerkan peralatan SSTV dan radio amatur.

Selain UPNM dan MARTS, turut menyertai pameran tersebut termasuklah Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM) serta syarikat swasta. Unit Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains turut mempamerkan modul pembelajaran interaktif dalam bidang masing-masing.

Kira-kira 2,000 pelajar SMK Bandar Saujana Putra yang hadir rata-ratanya berasa gembira kerana memperoleh banyak pengetahuan baharu berkaitan dengan STEM dalam suasana yang menyeronokkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi