Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka − Program Ijazah Sarjana Muda Penerbangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menggabungkan ijazah akademik dan lesen penerbangan profesional (CPL) merupakan program pertama yang dilancarkan di negara ini hasil kerjasama strategik UPNM dan International Aero Traning Academy (IATAC) yang dijalankan di Batu Berendam, Melaka.

Program yang dizahirkan menerusi memorandum persefahaman antara UPNM dan IATAC itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab. Rauf Jusoh.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab. Rauf Jusoh berkata, program itu menggabungkan dua tahun pembelajaran akademik dan setahun latihan industri (2uli) bagi membolehkan penuntut program berkenaan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Penerbangan dan Lesen Profesional Juruterbang (CPL) secara serentak.

Sebagai rekod, tempoh pengajian 2uli adalah jalan mudah untuk menjadi juruterbang profesional berbanding dengan program pihak ketiga yang memakan masa antara tiga hingga enam tahun.
Semasa majlis pelancaran, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral (Lt. Jen.), Datuk Arman Rumaizi Ahmad Datuk Arman berkata program ini merupakan pembelajaran paling singkat di Malaysia yang membantu menjimatkan masa dan kos disamping memberikan kelebihan luar biasa kepada graduan dan membuka lebih banyak peluang kerjaya.
Lt. Jen. Datuk Arman menambah, kerjasama strategik itu merupakan teras UPNM selari dengan Pelan Strategik UPNM30 untuk melahirkan graduan yang cemerlang akademik dan memiliki jati diri untuk memimpin dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Pada Mac lalu, Lt. Jen. Datuk Arman Rumaizi telah melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Melaka mengenai kerjasama strategik tersebut. Dalam kunjungan itu, YAB Datuk Seri Ab. Rauf dimaklumkan, Program 2uli akan menjadi pemacu kepada pencapaian UPNM30 selari dengan agenda pemerkasaan program akademik berimpak tinggi universiti itu yang menyatupadukan pendidikan akademik dan latihan profesional.

Dalam majlis yang sama, IATAC turut mempamerkan beberapa buah pesawat ringan yang dilengkapi dengan kokpit dan mempunyai dua atau empat tempat duduk untuk pelatih dan pelajar. Pesawat ini direka khas untuk latihan penerbangan, navigasi dan kemahiran di udara.
UPNM dan IATAC turut membuka reruai dan mempamerkan pelbagai modul dan juga peralatan yang bersangkut paut dengan pengajian penerbangan, selain pameran peralatan radio komunikasi oleh MARTS. Peralatan radio disifatkan sangat penting dalam industri penerbangan antaranya untuk berhubung antara juruterbang dan menara kawalan.

Beberapa buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Bandaraya Melaka dan Alor Gajah turut meluangkan masa melihat pameran pesawat, menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan pertandingan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada hari tersebut.