Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Senator  Saraswathy Kandasami menganggap bahawa filem Pejam mampu mengangkat semangat perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara. 6. YB Senator Saraswathy Kandasami, dalam Majlis Tayangan Khas Filem Pejam pada 15 Julai lalu di GSC Starling Mall, Damansara,

Dalam sidang media tayangan khas, beliau menyatakan bahawa filem Pejam mampu mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Dari mula hingga akhir filem ini jelas menggalakkan perpaduan kaum di negara kita yang kian pupus. Kesemua watak dan adegan dalam filem ini berjaya mempengaruhi perkara tersebut,” ujar Timbalan Perpaduan Negara, YB Senator Saraswathy Kandasami yang mewakili Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam acara tersebut.

Selain mengangkat tema perpaduan, filem Pejam yang diterbitkan oleh Bunga Bro Production Sdn. Bhd. ini secara tidak langsung turut menyentuh isu kesihatan mental untuk mengubah perspektif individu, dan masyarakat terhadap pesakitnya.

Sementara itu, penerbit filem, S.T Bala mengatakan bahawa beliau memilih judul Pejam kerana  menggambarkan detik peralihan watak utama, iaitu Lingam (lakonan Sivenesh), yang bermula daripada gelap kepada sedar.

“Apabila membuka mata semula selepas pejam sekian lama, kita menjadi orang lain,” tambahnya yang mengambil masa kira-kira setahun menyiapkan keseluruhan proses, termasuk penggambaran selama hampir tiga minggu di Sungai Petani, Kedah.

Pengarah dan Penerbit Filem Pejam, S. T Bala dalam Majlis Tayangan Khas Filem Pejam.

Filem Pejam ini mengisahkan seorang gadis bernama Priya yang masih dihantui kehilangan ayahnya, Lingam, yang hilang tidak dapat dikesan selepas kemalangan 22 tahun lalu.

Priya sanggup menangguhkan perkahwinan dengan Raymond (Kahoe) selagi belum menemui semula dengan ayahnya itu. Dia bertuah kerana pencariannya itu dibantu oleh Raymond, yang mencadangkan penggunaan media sosial untuk menjejaki ayahnya Lingam.

Petunjuk muncul apabila seorang pemuda, Azman (Abdul Halim), mendakwa pernah bertemu seorang lelaki tua misteri yang mirip dengan Lingam.

Kisah tragis Lingam terungkai apabila dia hilang ingatan selepas kemalangan, dan hidup sebagai gelandangan, tidak dikenali sesiapa, termasuk keluarganya sendiri.

Beberapa tahun kemudian, Lingam ditawarkan bekerja sebagai tukang kebun di sebuah pusat pemulihan pesakit mental selepas menyelamatkan seorang pesakit daripada membunuh diri.

Akhirnya, pencarian ayahnya hampir ke penghujung apabila dia diwawancara di radio oleh penyiar yang juga rakan baik Raymond sewaktu pemandu di pusat pemulihan itu menghubunginya. Lalu, Priya, Raymond dan Azman bergegas ke pusat itu apabila mendengar pengkhabaran ayahnya itu.

Filem Pejam ini dibintangi oleh Sivenesh Arunachalam, Abdul Halim Radzi, Kahoe Hon, dan Aahmu Thirunyanam, serta pelakon veteran terkenal, Dato’ Imuda.

Turut hadir dalam tayangan khas filem Pejam termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Encik Mohamad Sobri Mat Daud; Pengarah dan Penerbit Filem Malaysia, YBhg. Dato’ Jurey Latiff Mohd. Rosli; Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, YBrs. Mejar (K) David Teo; pemangkin Prestij Films, Puan Jane Lim, serta pelakon Pejam, iaitu Vanessa Cruez dan Azlan Faudzi aka Mamukokoot.

YB Senator Puan Saraswathy Kandasami (empat dari kanan) bersama-sama YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid (empat dari kiri), serta S. T Bala (tiga dari kiri), YBrs. Mejar (K) David Teo, YBrs. Encik Mohamad Sobri Mat Daud (dua dan tiga dari kanan), dan pelakon Pejam selepas tayangan khas filem tersebut.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi