Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRawatan Gigi yang Mengubah Mikrobiom Mulut Kanak-kanak
Kerosakan gigi atau dikenali sebagai karies gigi ialah masalah kesihatan yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan sering dianggap sebagai permasalahan pada permukaan gigi sahaja. Pada hakikatnya, karies gigi berhubung kait dengan sebuah ekosistem kecil yang dipenuhi oleh bakteria di dalam mulut atau dikenali sebagai mikrobiom mulut.
Bakteria yang mendiami ekosistem ini terdiri daripada bakteria jahat dan bakteria baik yang sangat penting untuk mengekalkan kesihatan mulut dan gigi. Penemuan kajian terkini ke atas kanak-kanak di Malaysia berusia tujuh hingga dua belas tahun menunjukkan bahawa rawatan gigi mampu mengganggu keseimbangan ekosistem mikrobiom.
Keadaan di dalam Mulut Sebelum Menjalani Rawatan
Sebelum rawatan, kanak-kanak yang menghidapi karies teruk menunjukkan mikrobiom mulut yang berbeza, berbanding dengan kanak-kanak yang bebas daripada karies. Mulut mereka dipenuhi oleh bakteria berbahaya seperti Streptococcus yang terkenal sebagai punca utama karies dan Prevotella yang hidup dalam persekitaran berasid akibat daripda pengambilan makanan bergula dan amalan kebersihan mulut yang kurang baik.
Bakteria ini mampu menyebabkan karies melalui pembentukan biofilem melekit dan penghasilan asid yang merosakkan enamel gigi. Selain itu, kanak-kanak yang menghidapi karies ini mempunyai skor kepelbagaian bakteria mulut yang lebih rendah dan ini menandakan kesihatan mulut yang tidak baik kerana mikrobiom yang sihat memerlukan keseimbangan antara bakteria yang pelbagai.

Mikrobiom Lebih Sihat dan Seimbang Selepas Menjalani Rawatan
Perubahan yang ketara dan positif kepada kepelbagaian bakteria dalam mikrobiom mulut boleh dilihat selepas tiga bulan rawatan gigi. Hal ini menunjukkan petanda baik keberhasilan ekosistem mulut yang lebih sihat tanpa dominasi bakteria jahat. Di samping itu, peningkatan dominasi bakteria Fusobacterium dan Neisseria menunjukkan persekitaran mulut kembali kepada keadaan yang neutral dan seimbang.
Walau bagaimanapun, sesetengah bakteria berbahaya juga masih kekal, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang menghidapi karies teruk. Perkara ini menunjukkan bahawa rawatan gigi sahaja tidak mencukupi untuk pemulihan jangka panjang. Langkah penjagaan mulut yang konsisten seperti memberus gigi, menggunakan ubat gigi berfluorida dan mendapatkan rawatan berkala di klinik gigi adalah penting untuk mencegah bakteria berbahaya ini daripada kembali lagi selepas selesai menjalani rawatan gigi.
Peranan Pemakanan sebagai Benteng Pertahanan Semula Jadi
Hasil kajian menemukan satu cara yang menarik untuk menjaga gigi, iaitu melalui pemakanan. Pengambilan susu dan yogurt dapat mencegah karies. Jumlah pesakit yang menghidapi karies teruk menunjukkan kadar yang lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak yang kerap mengambil produk tenusu.
Kandungan probiotik yang lazimnya ditemui dalam susu dan yogurt mampu membantu memulihkan keseimbangan mikrobiom mulut kerana dipercayai boleh menghalang bakteria berbahaya seperti Streptococcus mutans. Pemakanan seimbang dan langkah mudah seperti pengambilan makanan kaya probiotik dalam diet harian mampu memainkan peranan penting untuk mencegah kerosakan gigi.
Mesej kepada Ibu Bapa dan Komuniti
Penemuan kajian ini memberikan mesej yang jelas bahawa rawatan gigi bukan sekadar untuk membaiki gigi, tetapi juga mengubah keseimbangan mikrobiom di dalam mulut ke arah yang lebih sihat. Walau bagaimanapun, perjuangan menentang kerosakan gigi tidak berhenti setakat di atas kerusi rawatan gigi semata-mata. Usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk memastikan kesihatan mulut yang berpanjangan.
Ibu bapa disarankan agar mendidik anak-anak untuk mengamalkan budaya memberus gigi secara kerap, mengurangkan pengambilan snek bergula dan menambahkan pengambilan produk tenusu seperti susu dan yogurt dalam diet mereka. Pihak sekolah dan komuniti pula perlulah meningkatkan kesedaran tentang penjagaan gigi serta menyediakan akses rawatan gigi yang lebih baik, terutamanya untuk keluarga berpendapatan sederhana atau rendah yang sering terjejas daripada mendapatkan rawatan.
Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa rawatan gigi bukan sahaja menyelesaikan masalah segera tetapi juga memberikan peluang kepada mikrobiom mulut untuk kembali sihat. Dengan memahami dan menyokong ekosistem kecil di dalam mulut, kita boleh membantu kanak-kanak menentang kerosakan gigi untuk memiliki senyuman yang sihat pada masa hadapan.