Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 18:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Perak) YBrs. Dr. Ahmad Jelani Halmi menegaskan bahawa sejak zaman purba lagi orang Melayu sudah terbiasa dengan laut dan sungai sebagai penghubung penting dalam kehidupan orang Melayu.

Katanya, setiap rumah orang Melayu mesti memiliki sebuah sampan untuk ke mana-mana kerana kebanyakkan di bawah rumah mereka adanya sungai dan terusan.

Beliau berkata demikian, sewaktu menjadi ahli panel pertama Wacana Etnosains dan Teknologi Siri 5: Perkapalan Alam Melayu pada 13 Ogos 2025 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka).

Dalam wacana anjuran Pusat Dokumentasi Melayu DBP, Dr. Ahmad Jelani Halmi menyentuh soal undang-undang laut dengan merujuk beberapa buah buku, seperti Undang-undang Laut Melayu: Undang-undang Perahu dan Undang-undang Belayar.

Dr. Ahmad Jelani menjelaskan bahawa tidak semua undang-undang laut dilaksanakan bersendirian, ada yang digabungkan dengan undang-undang darat seperti Undang-undang Kedah (UUK) dan Undang-undang Pahang.

“Dalam UUK kelihatan seperti dipengaruhi Acheh, tetapi hukuman yang dikenakan kepada pesalah tetap sama. UUK ini kelihatan lebih ringkas dengan bahasa yang dipermudahkan,” katanya.

Dari kiri; YBhg. Dato’ Haji Mohd. Yusof Abdullah, YBrs. Dr. Ahmad Jelani Halmi dan YBrs. Dr. Mohd. Yuszaidy Mohd. Yusoff.

Beliau memberikan contoh, iaitu Hukum Turun Berniaga dalam Undang-undang Laut Melaka (UULM) adalah empat hari diberikan kepada nakhoda untuk berniaga dahulu, baru diikuti pegawai lain selama dua hari.

“Selepas itu, barulah kiwi atau penumpang-penumpang lain dibenarkan berniaga. Tetapi, dalam UUK, berniaga itu hanya empat hari. Dua hari pertama diperuntukkan kepada nakhoda kemudian selebihnya kepada penumpang lain di dalam perahu,” tambah Dr. Ahmad Jelani Halmi.

Sementara itu, ujar beliau lagi, Undang-undang Perahu memperlihatkan perkembangan pemikiran orang Melayu yang telah dijajah dan dipengaruhi dengan peraturan-peraturan lain yang kian berkembang di Melaka. Oleh itu, pengenalannya kepada fasal-fasal yang dibicarakan dalam undang-undang ini agak berbeza daripada UULM.

Meskipun agak berbeza, tambah Dr. Ahmad Jelani, UULM masih mengatakan undang-undang tersebut berasal dari Bendahara Seri Maharaja Melaka. Namun begitu, nama Sultan Mahmud tidak disebut lagi adalah anugerah Sultan kepada nakhoda.

“UUP menganggap undang-undang itu sebagai raja, bukan seperti dalam UULM, bahawa nakhoda itu raja di perahunya,” ujar beliau.

Sehubungan dengan itu, peraturan-peraturan tentang perahu dalam UUP, katanya, juga berbeza daripada yang terdapat di dalam UULM, yang kelihatan lebih memberatkan haI-hal penyewaan, dan ganti rugi, serta denda ketika mengendalikan perahu tersebut.

Pada masa yang sama tambah beliau, UUP pula banyak membicarakan tentang penumpangan, penyewaan dan pengangkutan barang dagangan di dalam perahu, serta hal-hal perdagangan, dan tidak menjelaskan tugas-tugas pengawalan seperti yang dinyatakan dalam UULM.

Jelas Dr. Ahmad Jelani, perbezaan dalam undang-undang ini wujud kerana berlaku perubahan pemikiran orang Melayu di kawasan-kawasan di luar Melaka mengikut perkembangan zaman.

“Terdapat juga sebuah undang-undang laut lain yang dikenali sebagai Undang-undang Berlayar (UUB). Meskipun peruntukaannya yang sama banyak, tetapi kandungannya banyak berbeza, dan UUB banyak tambahannya,” ujar beliau.

Pengenalannya sahaja, tambah Dr. Ahmad Jelani, sudah berbeza daripada UULM yang lain dan berkemungkinan besar disalin dalam zaman selepas keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka.

Sementara itu, dua orang ahli panel lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Sejarah dan Perundangan Diraja Terengganu, YBhg. Dato’ Haji Mohd. Yusof Abdullah, dan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd. Yuszaidy Mohd. Yusoff.

Wacana ini dikendalikan oleh Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, Encik Abdul Ghani Abu.sebagai moderator.

Yang turut hadir Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, YBrs. Encik Mohamad Muda Baharin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Johari Md. Hassan dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa serta YM Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Perasmian wacana disempurnakan oleh Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi