Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 31 Julai lalu. Pindaan ini merupakan antara reformasi pendidikan negara yang terus diperkukuh oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebelum ini, Akta Pendidikan 1996 hanya mewajibkan tempoh pendidikan rendah selama enam tahun. Reformasi ini menjadi langkah proaktif kerajaan untuk menangani masalah keciciran pelajar di negara kita. Saban tahun, apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, masyarakat cenderung meneliti jumlah pelajar yang tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut. Walaupun statistik menunjukkan penurunan, jumlahnya masih signifikan dan membimbangkan.

Keciciran dalam kalangan pelajar bukanlah fenomena baharu, sebaliknya merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh banyak negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Masalah ini juga menjadi antara cabaran terbesar KPM dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.  Selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Malaysia turut memfokuskan pemulihan keciciran pembelajaran, pendigitalan pendidikan serta profesionalisme dan kebajikan keguruan.

Seawal penubuhan Malaysia, kerajaan telah menekankan akses kepada pendidikan untuk semua dengan melaksanakan pelbagai garis panduan, termasuk menguatkuasakan undang-undang dalam usaha merapatkan jurang pendidikan. Pada tahun 2012 pula, kerajaan telah menerima pakai dasar pendidikan percuma untuk meluaskan akses pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Dalam usaha mencapai status negara maju, pendidikan menjadi satu daripada bidang penting yang perlu diberikan perhatian. Pendidikan mendorong kepada pembangunan sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Namun begitu, keciciran pelajar di Malaysia terus menjadi isu utama yang menghalang kemajuan pendidikan negara. Laporan World Bank Malaysia Economic Monitoring 2019 menunjukkan bahawa sebanyak 175,000 orang pelajar mengalami masalah keciciran pembelajaran.

Laporan pada tahun 2023 pula mencatatkan peningkatan mendadak kepada 435,000 orang pelajar. Walau bagaimanapun, data KPM menunjukkan bahawa kadar keciciran pelajar menurun secara konsisten. Pada tahun 2024, kadar keciciran pelajar pada peringkat sekolah rendah ialah 0.06 peratus, manakala pada peringkat sekolah menengah ialah 0.64 peratus. Jelaslah di sini bahawa kadar keciciran pelajar di sekolah menengah ialah lebih tinggi berbanding dengan peringkat sekolah rendah.

Menurut Akta Pendidikan 1996, keciciran bermaksud pelajar yang tidak mengikuti pendidikan wajib di sekolah atau tidak hadir ke sekolah melebihi tiga hari berturut-turut, tidak termasuk ketidakhadiran akibat masalah kesihatan. Sementara itu, Laporan Murad (1972) mentakrifkan keciciran sebagai pelajar yang berhenti sekolah sebelum tamat pengajian sama ada pada peringkat rendah atau peringkat menengah. Secara umumnya, keciciran pembelajaran merujuk kepada pelajar yang masih berdaftar dalam sistem persekolahan, tetapi gagal menghabiskan tempoh persekolahan seperti yang ditetapkan.

Masalah keciciran pelajar di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu keciciran sengaja dan keciciran terpaksa. Keciciran sengaja biasanya berpunca daripada sikap pelajar atau faktor sosioekonomi keluarga, contohnya kemiskinan yang menghalang ibu bapa menghantar anak ke sekolah. Keciciran terpaksa pula berlaku apabila pelajar diberhentikan sekolah walaupun masih berhasrat untuk meneruskan pembelajaran, seperti kegagalan dalam peperiksaan atau masalah disiplin yang serius.

Pada tahun 2020, kadar keciciran pelajar menunjukkan peningkatan yang ketara akibat penutupan sekolah yang berpanjangan semasa pandemik COVID-19. Penutupan sekolah dalam tempoh yang lama telah menurunkan motivasi pelajar untuk belajar sehingga sebahagian daripada mereka memilih untuk berhenti sekolah. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan ekonomi yang turut menyumbang kepada peningkatan kadar keciciran.

Dalam usaha menangani masalah ini, pelbagai reformasi telah dilaksanakan oleh KPM. Antaranya termasuklah menubuhkan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 (Sekolah K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif K11 (Sekolah K11). Sekolah K9 menawarkan sembilan tahun persekolahan daripada peringkat rendah hingga menengah rendah, manakala Sekolah K11 menyediakan pendidikan berterusan selama 11 tahun, iaitu dari tahun satu hingga tingkatan lima. Penubuhan sekolah ini membuktikan komitmen KPM untuk mengurangkan kadar keciciran, khususnya kanak-kanak di kawasan pedalaman, pulau dan pinggir bandar. Pada masa ini, terdapat 28 buah sekolah K9 dan dua buah sekolah K11, iaitu di Betau, Pahang dan Long Bedian, Sarawak.

Selain itu, KPM telah melaksanakan pelbagai intervensi kurikulum, termasuk Kurikulum 2025 yang merangkumi pengesanan awal literasi dan numerasi, program intervensi untuk murid tahun satu serta Program Intervensi Membaca dan Menulis (IMPreM) untuk murid tahap dua. Semua intervensi ini memberikan tumpuan kepada murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) pada tahap minimum. Kekurangan penguasaan kemahiran asas ini sering menyebabkan murid hilang minat untuk belajar dan akhirnya berhenti sekolah. Maka itu, kita hendaklah memastikan pelajar menguasai kemahiran asas supaya mereka kekal bersemangat untuk belajar di sekolah.

Langkah terbaharu kerajaan bagi menangani masalah keciciran pelajar ialah mewajibkan pendidikan menengah melalui kelulusan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 pada 31 Julai lalu. Statistik pada ketika ini menunjukkan kadar keciciran di sekolah rendah lebih rendah berbanding dengan sekolah menengah kerana pendidikan rendah telah lama diwajibkan melalui Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Subseksyen 29A(1), (2), (3) dan (4).

Negara seperti Finland, Jepun dan Korea Selatan sudah lama mewajibkan pendidikan selama 12 tahun, merangkumi pendidikan rendah hingga menengah atas. Menurut Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad yang juga mantan Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Mat Dom, menyatakan bahawa kini kesan keciciran pelajar pada peringkat menengah akan memberikan impak besar kepada rakyat dan negara apabila pelajar memandang ringan kepentingan SPM sebagai kelayakan asas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti matrikulasi, diploma dan universiti. Tanpa kelulusan SPM, peluang pekerjaan mereka juga menjadi terhad.

Dengan mewajibkan pendidikan menengah, tahap kemahiran asas dapat dipertingkatkan, peluang pendidikan dapat diperluas dan kadar keciciran pelajar dapat dikurangkan. Walau bagaimanapun, kerajaan perlu membantu keluarga berpendapatan rendah terutamanya dalam kalangan miskin tegar dengan menawarkan biasiswa dan bantuan untuk membolehkan anak mereka meneruskan pengajian pada peringkat menengah. Pelajar juga perlu diberikan kesedaran tentang kepentingan menuntut ilmu serta panduan memilih bidang kemahiran yang sesuai semasa tingkatan empat. Kekurangan maklumat tentang bidang dan jurusan yang selari dengan minat serta kemahiran mereka boleh mendorong pelajar berhenti sekolah lebih awal daripada yang sepatutnya.

Transformasi KPM yang mewajibkan pendidikan menengah merupakan langkah strategik dan holistik untuk menangani masalah keciciran pelajar di Malaysia. Langkah ini berpotensi memastikan pelajar menamatkan persekolahan bukan sahaja pada peringkat rendah, tetapi sehingga peringkat menengah. Dalam merealisasikan dasar ini, kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa amat diperlukan. Sokongan yang menyeluruh mampu membina sistem pendidikan yang lebih mampan demi masa hadapan generasi muda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi