Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pasir Gudang – Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai (SKOMAS) menjalinkan persefahaman strategik dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun dan 33 buah sekolah Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari daerah berkenaan bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta amalan terbaik dalam pendidikan khas.

Kerjasama itu dimenterai melalui sesi penandatanganan persefahaman yang diadakan bersempena dengan lawatan lebih daripada 40 orang delegasi pegawai dan pendidik dari PPD Dungun ke SKOMAS, Pasir Gudang, hari ini.

Pengetua SKOMAS, Encik Subramaniyan A/L Dorasamy, berkata bahawa lawatan tersebut membuka ruang perkongsian ilmu dan pengalaman sebagai usaha melestarikan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga pendidik.

“Kami percaya apabila semua warga pendidik berkolaborasi bersama-sama, pasti akan lahir idea baharu yang boleh diimplementasikan dalam pembelajaran harian demi manfaat anak-anak murid,” katanya.

Terdahulu, SKOMAS dikenali sebagai sekolah rintis terawal di Malaysia yang melaksanakan dua sesi pengoperasian PPKI, sekali gus menjadikannya model perkongsian pengalaman bagi sekolah lain.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) PPD Dungun, YBrs. Encik Rosdi Hussin, berkata bahawa lawatan itu memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan profesionalisme serta mengadaptasi amalan terbaik penolong kanan dan penyelaras PPKI.

“Apabila melibatkan amalan terbaik, pastinya kerjasama ini akan membawa warna baharu dalam sistem pendidikan yang lebih cemerlang selari dengan visi misi kami ke arah digitalisasi pendidikan,” ujar beliau.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) PPD Pasir Gudang, YBrs. Puan Ain Izahar, yang menegaskan kolaborasi pendidikan pada masa ini bukan lagi pilihan tetapi merupakan keperluan.

Tambahnya,

Dalam usaha meningkatkan budaya kecemerlangan dengan bilangan pelajar yang besar, semua pihak perlu bekerjasama bagi mewujudkan suasana sekolah yang menyeronokkan dan sarat dengan nilai murni serta pencapaian akademik.

Delegasi turut dibawa melawat kelas pendidikan khas, ruang kemahiran, infrastruktur sekolah serta mengikuti siri perkongsian amalan terbaik PPKI yang disampaikan oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas SKOMAS, Puan Jamilah Ali.

Lawatan diakhiri dengan komitmen bersama untuk terus mengembangkan bakat dan potensi Murid Berkeperluan Khas (MBPK) dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang serta meningkatkan kualiti hidup mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi