Diterbitkan pada 29 Ogos 2025, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma (SKSA) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menganjurkan Program MERDEKA@SEKOLAHKU bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan kenegaraan dalam kalangan warga sekolah, baru baru ini.

Program yang berlangsung pada pukul 7:45 pagi bermula dengan nyanyian lagu Negaraku, lafaz Ikrar Rukun Negara dan ucapan aluan Penyelaras Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah sebelum diteruskan dengan bacaan teks Bicara Kenegaraan “Aku Kasih Malaysia” oleh Penolong Kanan 1, YBrs. Puan Kartiny Mohamad Saad yang mewakili Guru Besar, YBrs. Puan Zuraimi Mansor.

Dalam majlis tersebut, acara turut diserikan dengan laungan penuh semangat slogan “Aku Kasih Malaysia” yang diketuai oleh Yang Dipertua PIBG, YBhg.Datuk Hj Abdul Rahim Hj Mat Sam, sekali gus mencatatkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai usaha SKSA mengangkat nilai kenegaraan pada peringkat akar umbi.

Dalam majlis tersebut, pelbagai program turut diadakan dengan persembahan sajak, perarakan merdeka oleh pelbagai pasukan termasuk SAS Brass Band, badan beruniform, dan persembahan basikal berhias sebagai simbolik kepada kepelbagaian dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia.

Acara persembahan basikal berhias di perkarangan Sekolah Kebangsaan Sultanah (SKSA) yang disertai oleh para pelajar bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Dalam sesi akhir, Bicara Merdeka disampaikan oleh Puan Nurul Syuhada kepada murid Tahap 2, dengan mesej yang menekankan nilai tanggungjawab, kesyukuran dan cinta terhadap negara.

Program ini disifatkan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk generasi Malaysia MADANI yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki nilai, adab, semangat patriotik dan kesedaran sivik yang tinggi.

Pasukan SAS Brass Band memimpin Perarakan Merdeka dengan alunan muzik patriotik yang menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di SKSA.

Selaras dengan prinsip MADANI, warga SKSA diterapkan dengan nilai akhlak mulia, budaya ilmu, perpaduan dan kesedaran tanggungjawab terhadap bangsa serta negara, sekali gus menjadikan sekolah bukan hanya institusi pendidikan, malah sebagai medan utama pembinaan jati diri dan pemerkasaan semangat kenegaraan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi