Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gurau senda merupakan perencah dalam kehidupan sosial manusia yang mampu menyemarakkan suasana, mengeratkan hubungan dan mencipta momen yang dikenang dengan senyuman. Namun begitu, dalam keghairahan bergurau ada individu yang sering kali terleka sehingga melampaui batas. Gurauan yang pada awalnya bertujuan untuk menceriakan suasana akhirnya mengundang air mata, kemarahan dan perasaan tidak puas hati.

Malahan bagi kes yang lebih serius, gurauan boleh mengakibatkan kemusnahan hubungan dan kehilangan nyawa. Fenomena ini semakin ketara dalam dunia moden yang sarat dengan media sosial dan budaya tular. Meneliti keadaan ini, garis sempadan antara gurauan yang membina dan memudaratkan sering kali kabur. Sudah tiba masanya batasan dalam bergurau perlu dihormati demi kesejahteraan bersama.

Gurauan datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang spontan, berasaskan sindiran dan tidak kurang juga yang bersifat fizikal seperti usikan. Dalam kalangan rakan karib, gurauan mungkin menjadi bahasa kasih sayang yang tidak perlu diterangkan. Walau bagaimanapun, tidak semua orang boleh menerima gurauan dengan cara yang sama. Perkara yang kelakar bagi seorang, mungkin boleh menyakitkan bagi individu yang lain. Ada gurauan yang menyentuh soal fizikal, latar belakang keluarga, status kewangan bahkan ke tahap agama dan bangsa, iaitu perkara yang amat mudah menyinggung perasaan dan seharusnya dijauhi.

Apabila gurauan diselitkan tanpa empati dan pertimbangan, tindakan tersebut boleh menjadi senjata yang menusuk jiwa. Ironinya, pelaku sering menganggap mangsa terlalu sensitif, seolah-olah kesalahan bukan pada gurauan tersebut, tetapi kepada penerimanya. Sikap seperti ini menandakan bahawa kurangnya kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dalam berkomunikasi. Kadangkala gurauan yang berlebihan ini berlaku dalam suasana yang dianggap mesra seperti dalam kalangan rakan sekerja, ahli keluarga atau jiran tetangga. Akan tetapi, hubungan baik yang terjalin itu tidak bermakna kita bebas memperkecil atau mempermainkan perasaan orang lain melalui gurauan yang tidak bertempat.

Terdapat pelbagai insiden tular melibatkan pelajar atau remaja yang bergurau secara fizikal sehingga boleh membahayakan keselamatan. Walaupun sesetengahnya tidak mengakibatkan kecederaan serius, perbuatan seperti ini jelas menunjukkan bahawa kurangnya kesedaran tentang batas dalam bergurau. Dalam konteks di sekolah atau remaja, gurauan berbentuk tolak-menolak, sorok barang atau mengejek rakan secara terbuka sering dianggap sebagai kebiasaan. Meskipun begitu, apabila dilakukan secara berulang atau tanpa memikirkan perasaan orang lain, gurauan itu boleh bertukar menjadi tekanan emosi yang memudaratkan.

Di tempat kerja pula, ada yang menjadikan rakan sekerja sebagai bahan gurauan pada setiap hari, mempermainkan fizikal atau gaya percakapan mereka. Walaupun mangsa hanya tersenyum bagi menjaga suasana, tekanan emosi itu lama-kelamaan boleh mendatangkan kesan yang mendalam. Ada yang terpaksa memendam rasa dan ada juga yang memilih untuk berhenti kerja demi menjaga kesihatan mental mereka.

Budaya gurauan dalam media sosial kini semakin membimbangkan. Demi mencuri perhatian dan muncul di halaman media sosial, kebanyakan pencipta kandungan sanggup mencipta gurauan melampau seperti mengejutkan orang awam, menjatuhkan maruah rakan sendiri atau merakam aksi spontan mereka tanpa izin. Kandungan seperti ini dianggap lucu oleh penonton tetapi bagi individu yang terlibat, situasi tersebut boleh menjadi pengalaman yang memalukan dan mencalarkan maruah mereka. Fenomena ini mencetuskan persaingan untuk menjadi pihak paling lucu atau paling “gila”, tanpa memikirkan impaknya kepada mangsa atau masyarakat. Dalam keghairahan mengejar tontonan dan pujian warga maya, nilai empati dan kesedaran sosial dilihat semakin terhakis.

Lebih memburukkan keadaan, reaksi warga maya yang tidak sensitif sering kali menambah luka yang terpendam. Komen yang menghina, mengejek atau menyindir mangsa menyebabkan keadaan menjadi lebih parah. Ada yang menuduh mangsa tidak kuat semangat atau tidak tahu bergurau sedangkan gurauan itu sememangnya tidak wajar sejak awal lagi. Apabila gurauan menjadi bentuk buli secara berjemaah, maka maksud asalnya sebagai hiburan sampingan telah hilang sama sekali.

Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita perlu memahami bahawa komunikasi memerlukan pertimbangan dan empati. Sebelum kita melontarkan sesuatu gurauan, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kata-kata ini akan menghiburkan atau menyakitkan? Adakah saya akan berasa senang hati jika gurauan seperti ini ditujukan kepada saya sendiri? Budaya “jangan ambil hati” tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyisihkan perasaan orang lain. Setiap individu datang daripada latar yang berbeza. Batas sensitiviti dan kekuatan emosi juga tidak sama antara satu sama lain. Oleh itu, kita wajar menyemai sikap saling menghormati dalam setiap komunikasi termasuklah dalam bergurau.

Dalam hal ini, peranan ibu bapa dan guru sangat penting dalam membentuk sikap ini sejak kecil. Kanak-kanak perlu dididik bahawa bergurau tetap ada batasnya. Nilai empati dan timbang rasa perlu diterapkan secara konsisten, bukan hanya dengan kata-kata, tetapi melalui contoh yang ditunjukkan oleh orang dewasa. Pada masa yang sama, pengguna media sosial dan pencipta kandungan perlu lebih bertanggungjawab terhadap perkara yang dcipta dan dikongsi oleh mereka. Kebebasan bersuara tidak bermakna kita bebas menghina, walau atas nama hiburan atau jenaka sekali pun.

Selain ibu bapa dan guru, institusi seperti sekolah, universiti dan tempat kerja juga perlu memainkan peranan aktif dalam mendidik dan membina budaya komunikasi yang sihat. Polisi anti-buli, program kesedaran emosi dan latihan kendiri boleh membantu menyemai nilai empati secara menyeluruh. Kita tidak boleh sekadar mengharapkan individu belajar sendiri tentang batas gurauan dalam masyarakat yang kini semakin kompleks dan terdedah kepada pelbagai pengaruh luar. Hal tersebut tidak mencukupi dalam proses mendidik minda masyarakat supaya mengetahui hak dan perasaan orang lain.

Gurauan yang sihat ialah yang menceriakan tanpa menjatuhkan sesiapa. Itulah yang mengeratkan hati sesama rakan, bukannya semakin menjeruk rasa. Dunia ini sudah cukup tegang dengan pelbagai isu harian dan kita tidak perlu menambah luka sesama manusia dengan kata-kata yang menyakitkan jiwa. Biarlah gurauan kita menjadi asbab untuk orang tersenyum, bukannya menangis. Seperti yang selalu diingatkan dalam pepatah lama, “kerana mulut badan binasa”. Maka itu, dalam setiap tutur kata kita, apatah lagi dalam bergurau, biarlah tertib dan menjadi tunjang kepada rasa hormat sebagai sempadan.

Tidak semua luka meninggalkan parut yang kelihatan. Ada yang terus berdarah di dalam, hanya kerana satu gurauan yang tidak diduga. Fikirkan kesan gurauan jika ingin terus mengekalkan keharmonian dalam kehidupan sesama insan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi