Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kejadian banjir kilat, tanah runtuh dan ribut kuat yang semakin kerap berlaku, menuntut kerjasama erat antara agensi penyelamat dengan penduduk setempat bagi meminimumkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.
Dekan Sekolah Kepimpinan dan Daya Tahan, Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), YBrs. Dr. Norhafifi Ismail berkata keberkesanan operasi menyelamat tidak hanya bergantung kepada kepakaran agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), tetapi turut dipacu oleh pelibatan komuniti yang memahami selok-belok kawasan masing-masing.
“Kerjasama dua hala antara agensi penyelamat dan komuniti bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan negara, malah membina budaya peka bencana dalam kalangan rakyat. Kerjasama seperti ini merupakan satu keperluan mendesak ketika perubahan iklim terus meningkatkan risiko bencana di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual oleh penyampai Izz Azlan dalam program ALFA terbitan NASIONALfm semalam.
Dr. Norhafifi berkata, kempen kesedaran awam melalui televisyen, media sosial dan program komuniti juga perlu diperhebat.
“Pendekatan pelbagai platform penting untuk memastikan mesej kesiapsiagaan sampai ke semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman. Selain itu, latihan simulasi seperti pemindahan kecemasan di sekolah, pejabat dan kawasan perumahan perlu dijadikan amalan berkala. Latihan yang kerap dapat melatih masyarakat agar tidak panik apabila bencana sebenar berlaku,” jelas beliau.
Beliau turut menyarankan masyarakat setempat melibatkan diri dalam program seperti Pasukan Respons Kecemasan Komuniti.
“Program sebegini melatih penduduk menjadi responden awal sementara menunggu bantuan profesional, sekali gus mempercepat tindakan menyelamat. Dengan pendidikan awal, kempen berterusan dan pelibatan komuniti, rakyat Malaysia diharap lebih bersedia, bukan sekadar menjadi mangsa, tetapi sebagai barisan pertama yang bertindak ketika detik cemas,” ujar beliau.
Menurut beliau, penduduk tempatan adalah mata dan telinga pertama di lapangan. “Mereka tahu laluan alternatif, lokasi berisiko, dan boleh memberi maklumat segera sebelum pasukan penyelamat tiba,” tambahnya.