Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelawati – Peranan bahasa Melayu bukan sekadar sebagai alat komunikasi, tetapi sebagai nadi identiti, perpaduan dan tamadun bangsa.

Hal ini dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, ketika menyampaikan Ucapan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2025, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati, hari ini.
Beliau telah melancarkan Majlis Pelancaran BBK 2025. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.
Dalam ucapannya juga, beliau turu menegaskan bahawa nasionalisme Melayu tidak wajar difahami secara sempit, sebaliknya sebagai identiti kebangsaan yang terbuka dan inklusif.
Beliau menekankan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi sebahagian daripada semangat kebangsaan Melayu melalui penggunaan bahasa Melayu, amalan adat istiadat dan nilai bersama. Jelasnya,
Melayu itu bukan hanya satu ras yang kecil, tetapi semua orang Malaysia boleh menjadi orang Melayu kerana berbahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan hidup sebagai satu bangsa yang bersatu.
Menurut beliau, penguasaan bahasa Melayu menjadi syarat penting pembentukan jati diri kebangsaan, malah dasar bahasa negeri Selangor turut berpaksikan kepada semangat kebangsaan dan keluhuran budaya, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menyentuh nilai bahasa dan budaya, beliau turut menyeru rakyat agar yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan, seterusnya menjadikannya sebagai asas keyakinan diri bangsa Malaysia.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan BBK 2025, sebagai gerakan massa nasional bagi meneguhkan kecintaan dan kebanggaan rakyat terhadap bahasa Melayu.
Beliau berkata bahawa program yang dianjurkan sepanjang bulan Oktober itu dilaksanakan di seluruh negara secara teratur dan meriah dengan pelibatan pelbagai pihak antaranya termasuklah agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Katanya,
Bulan Bahasa Kebangsaan bukan hanya perayaan, tetapi gerakan rakyat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana utama pentadbiran, komunikasi dan perpaduan nasional.

Tambah beliau, DBP selaku urus setia utama akan terus memainkan peranan memperkukuh ekosistem bahasa Melayu melalui program pembinaan, penggalakan, pengiktirafan, pemupukan serta penerbitan bahan ilmiah dan kreatif.
“Pemerkasaan bahasa Melayu amat penting untuk mendukung naratif kepimpinan kerajaan MADANI serta memperkukuh peradaban bangsa yang bermaruah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, menegaskan bahawa bahasa kebangsaan merupakan nadi kepada identiti dan perpaduan nasional, serta menjadi tiang seri pembinaan negara bangsa.

Beliau menekankan bahawa dalam masyarakat majmuk, bahasa Melayu menjadi penghubung antara pelbagai budaya, etnik dan agama, serta wadah yang merakam sejarah, tradisi dan pemikiran bangsa. Jelasnya,
Bahasa merupakan cerminan bangsa. Melalui bahasa, lahir karya agung dan penulis besar yang menjadi khazanah tamadun. Generasi muda pada hari ini pula menjadi pewaris untuk menjaga kesinambungan bahasa melalui pertuturan dan penulisan.
Majlis turut menyaksikan gimik pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025, yang disempurnakan bersama-bersama oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan serta dif kehormat.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan pelancaran beberapa judul buku terbaharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang merangkumi karya sastera, ilmiah, kanak-kanak dan remaja, serta penyampaian Watikah Citra Sahabat DBP kepada sebanyak 21 agensi sebagai rakan strategik DBP.