Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sabak Bernam – Kira-kira dua juta ahli Pengakap dari seluruh dunia bakal berhubung secara langsung menerusi gelombang radio dan platform Internet sempena Jamboree On The Air (JOTA) – Jamboree On The Internet (JOTI) yang akan berlangsung selama dua hari bermula 17 Oktober hingga 19 Oktober ini.

JOTA-JOTI merupakan jambori tahunan terbesar dalam Pergerakan Pengakap Dunia yang menggabungkan komunikasi radio amatur, teknologi digital dan Internet serta pelbagai aktiviti interaktif. Di Malaysia, jambori dikendalikan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) pada peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Politeknik Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim, Perak, dengan menggunakan tanda panggilan khas 9M4PSAS.

Melalui Perjanjian Persefahaman (MoU), pihak PPM dengan MARTS telah dilantik sebagai rakan strategik komunikasi radio bagi melancarkan aktiviti JOTA tahun ini.

Berdasarkan MOU tersebut, MARTS akan menyokong stesen-stesen JOTA melalui kepakaran radio amatur serta membantu ahli Pengakap membuat panggilan radio ke pelosok dunia dengan menggunakan tanda panggilan khas.

Dalam program tersebut, sebanyak 80 stesen di seluruh negara akan mengambil bahagian dalam jambori yang dijangka menghimpunkan lebih 10,000 ahli dan pemimpin Pengakap di lapangan, dengan Sabah mencatat penyertaan tertinggi sebanyak 19 stesen, diikuti Sarawak mempunyai 10 buah stesen, Terengganu dan Kelantan masing-masing memiliki tujuh buah stesen , sementara Selangor, Melaka dan Johor diperuntukkan sebanyak lima buah, Kuala Lumpur, Pahang dan Pulau Pinang  memiliki empat buah stesen, manakala negeri Sembilan memiliki tiga stesen, negeri Perlis dan negeri Kedah diperuntukkan sebanyak dua buah stesen, serta negeri Perak termasuk stesen kebangsaan dan Labuan masing-masing memiliki satu buah stesen.

Sejarah penganjuran JOTA-JOTI dalam dunia kepengakapan merupakan bukti evolusi dan transformasi Pengakap Dunia dalam menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta keperluan komunikasi global.

JOTA mula diperkenalkan pada tahun 1957 bersempena dengan ulang tahun ke-50 Pengakap Dunia, manakala JOTI diperkenalkan pada tahun 1997 seiring dengan kemunculan Internet pada ketika itu.

Kini, kedua-dua acara ini digabungkan sebagai JOTA-JOTI dikendalikan oleh WOSM sebagai jambori maya terbesar dunia yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun.

Selain itu, program JOTA-JOTI ini juga bertujuan untuk menggalakkan perhubungan antara ahli Pengakap dari pelbagai negara dan budaya, memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan kefahaman sejagat, di samping turut mendedahkan aktiviti berkemahiran seperti, kemahiran komunikasi menggunakan radio amatur, sebutan fonetik, kod Morse dan pancaran Slow Scan Television (SSTV).

Pesuruhjaya Daerah PPM Daerah Sungai Besar, Selangor, Tuan Haji. Mohd Hussairy Sidek berkata, JOTA-JOTI merupakan jambori antarabangsa yang dilaksanakan secara maya melalui penggunaan radio amatur, sekali gus menjadi wadah memperkukuh persahabatan global serta memupuk kepimpinan dalam kalangan belia Pengakap.

“Secara tidak langsung, JOTA-JOTI menjadi wadah pembelajaran yang berkesan dalam bidang teknologi komunikasi, keselamatan siber dan kemahiran insaniah, di samping mengeratkan jalinan persahabatan serta pertukaran budaya dalam kalangan jutaan ahli Pengakap dari lebih 170 negara,” katanya.

Tambah Tuan Haji Hussairy, tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 penubuhan Kelab Radio Amatur Pengakap Sungai Besar yang bermakna apabila kelab tersebut menerima kelulusan khas untuk menggunakan tanda panggilan istimewa 9M20CSB.

Pesuruhjaya Daerah, PPM Daerah Sungai Besar, Selangor, Tuan Haji Mohd Hussairy Sidek bersama-sama pelajarnya yang melibatkan diri dalam program JOTA-JOTI.

Sementara itu, Penyelaras Inisiatif Utusan Keamanan WOSM, Lawrence Yong Chwan San dari Kuching, menyatakan bahawa Sarawak akan mengaktifkan sebanyak 10 stesen JOTA-JOTI pada tahun ini.

Ujar beliau, semua stesen tertumpu kepada komunikasi Very High Frequency (VHF), Ultra High Frequency (UHF) dan High Frequency (HF), selain melaksanakan aktiviti seperti Kod Morse dan Semaphore.

“Bagi stesen JOTI pula, peserta akan memanfaatkan jaringan Internet untuk memperluas jaringan hubungan dengan rakan Pengakap di seluruh dunia melalui aplikasi ruang sembang yang ditetapkan.

“Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa akan mengendalikan satu stesen JOTA-JOTI pada peringkat sekolah yang melibatkan penyertaan seramai 80 orang ahli Pengakap,” katanya.

Sepanjang pelaksanaan aktiviti pada tahun 2025, JOTA telah dianjurkan sebanyak 68 kali, manakala JOTI sebanyak 30 kali terus diiktiraf sebagai jambori maya yang bukan sahaja memperkukuh jaringan perhubungan sejagat, malah menyatukan jutaan ahli Pengakap seluruh dunia dalam semangat perpaduan dan kemajuan teknologi.

Pasukan Pengakap SK. Bukit Changgang, Banting, Selangor bergiat aktif menyertai aktiviti interaktif menggunakan walkie-talkie.

Berdasarkan rekod, pada tahun 2024 sebanyak 12,748 ahli Pengakap dari seluruh Malaysia telah menyertai JOTA-JOTI, dengan 3,400 daripadanya dilantik sebagai urus setia dan ketua stesen, manakala pada peringkat antarabangsa, laporan Organisasi Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) merekodkan penyertaan anggaran 736,000 ahli dari 164 buah negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi