Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini memaklumkan bahawa akan melaksanakan langkah tambahan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan menangani isu disiplin pelajar di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Antara langkah tambahan yang akan dilaksanakan ialah:
Peruntukan tambahan RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negara, sekali gus merupakan peruntukan tambahan untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini.
Sebanyak 10 096 guru baharu termasuk lebih 500 orang guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah pada November 2025.
Sebanyak 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan Personel MySTEP.
Jawatankuasa Pemuafakatan pada peringkat sekolah akan diperkukuh melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.
Fungsi “Smart Support Team” pada peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis.
Meningkatkan peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin dalam menangani isu disiplin pelajar di sekolah.
Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan pelajar berdasarkan keperluan.
Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan diteliti semula bagi tujuan tambah baik. Sistem ini perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya.
Suara guru dan pelajar di sekolah perlu diberikan perhatian. Sesipertemuan dan dialog dengan pelajar dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit. Inisiatif “kotak suara murid” adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi pelajar di sekolah.
KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkukuh program saringan kesihatan mental bermula daripada tahun satu hingga tingkatan enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk pelajar.
KPM komited untuk memastikan keselamatan pelajar sentiasa diutamakan dan berusaha untuk meningkatkan aspek keselamatan pelajar, sekali gus menangani isu disiplin pelajar.