Diterbitkan pada 22 Oktober 2025, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Taiwan – Pengerusi baharu Pengakap Rantau Asia Pasifik (APR), YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Prof. Dr. Mohd Zin Bidin menggariskan 10 keutamaan strategik bagi memperkukuh hala tuju serta meningkatkan keberkesanan pergerakan pengakap di rantau ini untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Antara keutamaan tersebut termasuklah memperkasakan orang muda, menginovasikan sistem pendidikan kepengakapan, memperkukuh nilai kepelbagaian dan inklusiviti, serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan menjadi teras utama dalam setiap program dan aktiviti.

Menurut YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Prof. Dr. Mohd Zin Bidin, usaha ini menghargai sumbangan sukarelawan, memperkukuh tadbir urus, memperluas capaian serta pertumbuhan keanggotaan pengakap, mengadaptasi transformasi digital, dan memperjuangkan agenda keamanan, perpaduan serta kelestarian alam sekitar.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa kepentingan untuk memastikan pergerakan pengakap kekal relevan dan berpengaruh dalam mendepani cabaran global pada masa kini.

“Kita perlu beradaptasi, berinovatif dan berdaya saing untuk menghadapi era baharu yang dibentuk oleh kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan perubahan global. Kepengakapan tidak boleh sekadar mengikuti arus perubahan, sebaliknya perlu menjadi platform penting kepada generasi muda pada masa kini,” ujar beliau dalam ucapan khas sempena pelantikannya sebagai Pengerusi baharu APR.

Sebelum itu, pelantikan Dato’ Prof. Dr. Mohd Zin Bidin diumumkan semasa Persidangan Pengakap Asia Pasifik ke-28, yang menghimpunkan hampir 400 perwakilan dari 30 negara.

Pelantikan tersebut dianggap sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan beliau terhadap Malaysia dalam memperkukuh jaringan dan kepimpinan pengakap pada peringkat antarabangsa.

Persidangan yang dianjurkan oleh General Association of the Scouts of China (Taiwan) itu menjadi platform penting untuk menilai pencapaian semasa, membincangkan cabaran baharu serta merangka strategi masa hadapan pergerakan pengakap di rantau ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi