Diterbitkan pada 19 November 2025, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad mengumumkan perkongsian strategik dengan kelab padel premium, ASCARO, bagi penganjuran CIMB Padel Open 2026, sekali gus menandakan penyertaan rasmi CIMB dalam sukan padel, iaitu antara sukan raket yang sedang berkembang pesat di Malaysia.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada Jun 2026, itu dijangka menarik lebih 200 pemain merangkumi kategori amatur dan profesional, menjadikannya antara kejohanan sukan raket yang paling dinanti-nantikan di ibu kota.

Walaupun kejohanan belum bermula, pelanggan CIMB sudah boleh menikmati pelbagai keistimewaan di gelanggang ASCARO di 1 Utama dan lokasi baharu yang akan dibuka di TREC, Kuala Lumpur.

Melalui kerjasama ini, pemegang kad CIMB akan menerima diskaun sebanyak 15 peratus untuk langganan keahlian Emas dan Hitam ASCARO apabila pembayaran dibuat menggunakan kad CIMB. Manakala, pelanggan CIMB Preferred pula akan menikmati faedah tambahan seperti akses gelanggang percuma, barangan eksklusif dan jemputan ke acara yang terpilih.

CIMB juga menawarkan diskaun yuran kejohanan, slot percuma serta akses istimewa ke ruang istirahat dan dek tontonan (observation deck) CIMB Preferred sepanjang kejohanan berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, Gurdip Singh Sidhu, berkata bahawa perkongsian tersebut mencerminkan komitmen CIMB memperkasakan komuniti melalui inisiatif gaya hidup dan sukan.

Dari menyokong ikon negara sehingga menganjurkan pengalaman premium seperti Siri Golf Pilihan CIMB, kami terus mencari cara bermakna untuk menggalakkan kehidupan aktif. Kerjasama dengan ASCARO membawa semangat yang sama kepada khalayak baharu,” katanya.

Beliau menegaskan semangat dalam sukan padel selari dengan nilai ketangkasan, hubungan dan keterangkuman yang menjadi asas kepada slogan CIMB, “Kita Bagi Jadi”.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi ASCARO, Daniel Liljekvist, berkata bahawa sukan padel yang berasal dari Mexico dan popular di Sepanyol itu kini sedang berkembang pesat di Asia Tenggara.

ASCARO sedang mentakrifkan semula landskap rekreasi bandar melalui gabungan atletik dan gaya hidup premium. Kerjasama dengan CIMB merupakan langkah penting dalam perjalanan itu,” katanya.

Majlis pengumuman kerjasama tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman; Ketua Pegawai Eksekutif ASCARO, Oscar Arrsjö, serta barisan pengurusan kanan kedua-dua organisasi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi