Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan untuk menyemak semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan dalam operasi berskala besar seperti “Op Songsang”, susulan kekangan perundangan dalam kes melibatkan penahanan sebanyak 203 individu terbabit pada 28 November lalu.
Dalam sidang media tersebut, Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa semakan berkenaan penting memandangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhadapan dengan cabaran untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh yang terhad, termasuk menentukan seksyen perundangan yang tepat bagi setiap tangkapan.
Menurutnya, walaupun kesemua 203 individu itu dibebaskan dengan jaminan polis, namun proses siasatan tetap diteruskan.
YB Dato Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menegaskan tindakan serbuan dan tangkapan dilaksanakan mengikut undang-undang sedia ada, termasuk di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kanun Keseksaan.
“Beberapa peruntukan didapati tidak memadai bagi menangani kes yang melibatkan jumlah besar dan pelbagai kategori individu, seperti penjawat awam serta warga asing”.
“Meskipun mahkamah tidak membenarkan permohonan lanjutan reman terhadap mereka yang ditahan, perkara itu tidak menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” tambahnya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025) pada 2 Disember lalu.
Mengulas lanjut, beliau turut menjawab persoalan mengenai isu privasi yang dibangkitkan oleh beberapa pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), susulan tindakan polis menyerbu premis yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Privasi itu kalau dilakukan di rumah, tetapi isu ini terjadi di premis khas dengan sebanyak 203 orang penahanan.Polis perlu menyeimbangkan tanggungjawab dalam mengekang aktiviti tidak bermoral berbanding dengan dengan hak individu”, jelas beliau.
Tambah YB Dato Seri Saifuddin Nasution Ismail, aktiviti yang dicegah menerusi operasi tersebut adalah perbuatan tidak bermoral yang tidak boleh dipertahankan oleh mana-mana agama.
“Kalau ada NGO yang melihat dari sudut pandang lain, mereka perlu memahami bahawa perbuatan itu merupakan tindakan tidak bermoral yang tidak boleh dipertahankan oleh mana-mana agama,” jelasnya.
KDN katanya, akan memperhalusi maklum balas daripada PDRM dan Bahagian Keselamatan KDN, sebelum membawa cadangan pindaan perundangan untuk dipertimbangkan.
“Sudah tiba masanya untuk kita meneliti beberapa peruntukan yang berkaitan rapat rapat dengan undang–undang berkenaan,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan mengingatkan pegawai tinggi PDRM supaya berani dan bersedia berhadapan dengan media bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan pelbagai isu dan kes yang berlaku.
“Keengganan menjawab persoalan boleh menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap PDRM,” katanya ketika menjadi ahli panel Forum “Masyarakat Cakna, Polis Berintegriti: Negara Kekal Harmoni”.
Beliau menegaskan bahawa warga PDRM tidak boleh menutup atau melindungi sebarang salah laku rakan sekerja.
“Amalan negatif itu boleh mengundang kemarahan masyarakat dan mencemarkan citra PDRM,” tegasnya, sambil meluahkan rasa kesal terhadap kecenderungan sebahagian anggota baharu yang mengadu terus kepada pihak tertinggi kerajaan.
Tan Sri Ayob Khan menambah bahawa konsep kepolisan tidak akan mencapai keberkesanan sekiranya anggota sentiasa berlembut ketika menjalankan tugas.
“Boleh tegas dan garang, tetapi bertempat. Bukan tidak boleh berbuat sedemikian,” jelasnya lagi sambil berharap PDRM diberikan ruang untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBrs. Tuan Sudirman Aban, menyeru media dan masyarakat untuk lebih menonjolkan perkara positif mengenai PDRM.
“Banyak hal yang baik sepatutnya diuar-uarkan. Jangan hanya hal buruk dan sensasi yang dibesar-besarkan,” tegasnya.
Simposium berkenaan dimulakan dengan tiga sesi pembentangan utama. Sesi pertama bertajuk “Sinergi Polis dan Masyarakat Membina Kepolisan Berintegriti” yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, YBhg. DCP Thaipul Bahri Mokhtar.
Sesi kedua pula menampilkan Perunding dan Pengkaji Hak Asasi Manusia, Puan Firdaus Husni, yang membentangkan topik “Integriti Polis Diperkasakan, Kepercayaan Masyarakat Terpelihara”, manakala sesi ketiga bertajuk “Mendepani Cabaran Persepsi Awam dan Media Sosial Tentang Keutuhan Integriti” disampaikan oleh Penerbit Rancangan MHI TV3, Encik Mohammad Nor Affiq Norshamsudin.
Simposium bertemakan “Kepolisan Berintegriti: Tanggungjawab Bersama” anjuran KDN dan IPCC itu diadakan selaras dengan lima objektif iaitu, menyokong usaha mencegah salah laku dan meningkatkan citra PDRM; mengukuhkan kerjasama pelbagai pihak dalam memantapkan integriti anggota PDR; menyediakan platform perbincangan ilmiah untuk mengenal pasti isu berkaitan integriti, cabaran dan penyelesaiannya; mempromosikan serta menyebarluaskan peranan fungsi IPCC; serta penyertaan strategik IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC).
